Rumah terbakar tiga kali sejak Mei, RM25,000 tunai umrah hangus
SUNGAI PETANI: Air matanya sudah kering untuk ditangisi dan apa yang mampu dilakukan hanya berserah menerima dugaan Allah selepas rumah didiami terbakar tiga kali dalam tempoh lima bulan.
Itu ujian terpaksa dihadapi seorang ibu tunggal Hayati Md Zin, 60, apabila rumah teres dua tingkat didiami di Bandar Puteri Jaya musnah awal pagi semalam selepas kali ketiga terbakar.
Kebakaran kali pertama berlaku di tingkat bawah rumah pada Mei lalu yang juga hari ke-10 umat Islam menyambut Aidilfitri dan siasatan mendapati ia berpunca daripada litar pintas.
Ia kemudian disusuli kebakaran kali kedua memusnahkan bilik ibu tiga anak perempuan berusia 24 hingga 34 tahun itu pada jam 11 malam Ahad lalu.
Ketika kejadian Hayati yang sedang tidur terselamat kerana tersedar serta sempat berlari keluar.
Kebakaran itu turut menyebabkan wang tunai berjumlah RM25,000 serta barang kemas disimpan dalam bilik musnah dijilat api dan dia serta anak keduanya yang tinggal di rumah terbabit hanya keluar sehelai sepinggang.
Bagaimanapun, belum reda kesedihan, dua beranak terbabit yang menumpang tidur di rumah jiran sekali lagi dikejutkan dengan kebakaran kali ketiga yang berlaku di tingkat atas rumah berkenaan pada jam 5 pagi semalam.
Hayati berkata, kebakaran pertama berlaku ketika umat Islam masih dalam suasana menyambut Aidilfitri dan dua anak perempuannya turut pulang berkumpul di rumah.
“Anak sulung tinggal bersama mentua manakala bongsu menyewa di luar dan hanya saya bersama anak kedua tinggal di rumah ini.
“Ketika kejadian kali pertama itu kami semua berada di tingkat atas sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran yang memberitahu ada kebakaran di tingkat bawah,” katanya yang juga peniaga makanan.
Menurutnya, kebakaran memusnahkan siling luar rumah serta kompresor pendingin hawa dan siasatan bomba mendapati ia berpunca daripada litar pintas pendawaian elektrik di rumah.
“Saya kemudian mengupah pekerja membuat pendawaian elektrik baharu di tingkat bawah dan tiada lagi masalah berlaku selepas itu,” katanya.
Hayati yang menetap di rumah itu sejak enam tahun lalu berkata, kebakaran kali kedua berlaku jam 11 malam Ahad lalu ketika dia sedang tidur di bilik tingkat atas.
“Mujur saya terdengar bunyi percikan api yang ketika itu bermula daripada alat pendingin hawa sebelum ia pantas menyambar langsir dan anak yang berada di bilik sebelah menjerit supaya menyelamatkan diri.
“Kami hanya keluar sehelai sepinggang dan tidak sempat menyelamatkan barang berharga kerana api marak dengan pantas,” katanya yang baru beberapa hari mengeluarkan wang hasil berniaga berjumlah RM25,000 untuk menjelaskan urusan pembayaran bagi menunaikan umrah.
Menurutnya, kebakaran itu memusnahkan biliknya dan mujur jiran yang prihatin sudi menumpangkan dia dan anak untuk menetap buat sementara sebelum mereka mencari rumah sewa.
“Bagaimanapun, ketika tidur di rumah jiran saya dikejutkan sekali lagi dengan kebakaran ketiga yang juga berlaku di tingkat atas rumah dan kali ini ia memusnahkan keseluruhan tingkat atas yang mempunyai tiga bilik.
“Saya hanya mampu berserah dan menganggap semua ini adalah dugaan dan berterima kasih kepada semua jiran yang prihatin dan menghulurkan bantuan termasuk pakaian kepada kami,” katanya yang kematian suami sejak dua tahun lalu.
BHOnline