Pulau misteri ‘muncul’ selepas gempa bumi

Jakarta: Sebuah pulau dipercayai terbentuk di perairan Kepulauan Tanimbar, Maluku, berikutan gempa bumi bermagnitud 7.5, Selasa lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Kampung Teinaman, Tanimbar Utara, Bony Kelmaskossu.

“Di Kampung Teinaman, Mukim Tanimbar Utara, timbunan bahan membentuk pulau selepas gempa bumi dengan magnitud lebih 7.0,” katanya seperti dilaporkan agensi berita Antara.

Beliau berkata, fenomena itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk Kampung Teinaman dan menyebabkan ada yang berpindah untuk sementara, dari kampung itu.

“Kami mengarahkan orang ramai berpindah buat sementara waktu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan dan agensi teknikal berkaitan dapat menyiasat kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Koordinator Data dan Maklumat di Stesen Geofizik Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Ambon, Luthfy Pary berkata, kesahihan maklumat berhubung kemunculan pulau itu belum dapat disahkan.

Beliau berkata, ini kerana hal itu memerlukan kajian lebih mendalam.

Pary berkata, fenomena itu mungkin menunjukkan pembentukan gunung berapi lumpur, tetapi kes ini memerlukan lebih banyak siasatan.

“Maklumat yang kami perolehi tidak lengkap sama ada fenomena itu berpunca daripada gempa bumi atau tidak.

“Setakat ini, kami masih belum mendapat maklumat yang tepat,” katanya.

Selasa lalu, gempa bumi bermagnitud 7.5 menggegarkan wilayah timur Maluku di Indonesia.

Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker