Nurathiqa Mirnawan ‘atasi’ Mirnawan
KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih pingat emas dalam penampilan pertama di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 menjadi pencapaian terbesar buat atlet silat Selangor, Mirsha Nurathiqa Mirnawan.
Mirsha yang juga anak kepada bekas kapten skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi meraih emas dalam acara solo kreatif putri yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Lebih membanggakan, kilauan pingat emas itu juga boleh dianggap hadiah bermakna buat Mirnawan yang tidak pernah menyertai SUKMA pada zamannya bergelar atlet.
“Memang saya tidak pernah wakil mana-mana dalam SUKMA, tak ada rezeki. Mirsha buat pertama kali bersaing dalam SUKMA ini dengan saya pun tahu pengorbanan bukan mudah, jadi inilah hasilnya.
“Kami memang bangga dengan pencapaian Mirsha dan saya berasa satu keluarga bangga dengan dia. Tak semestinya saya main hoki, anak perlu main hoki.
“Apa yang penting mereka aktif dan dia sangat minat dalam silat, jadi kita sebagai ibu bapa bagi galakkan,” kata Mirnawan.
Pingat perak bagi acara itu dimenangi pesilat Kedah, Nur Inatha Khairuniyah Wira manakala gangsa milik pemenang bersama Maisarah Zainal (Perlis) dan Nur Fauza Hidayah Abd Rahim (Negeri Sembilan).
Sementara itu, Mirsha mendedikasikan kemenangan itu buat kontinjen Selangor, jurulatih dan keluarga yang banyak membantu serta mendoakan kejayaannya.
“Memang tak sangka langsung, Alhamdulillah rezeki Allah. Saya menang bukan sebab saya sendiri, tapi disebabkan oleh orang lain juga, atas doa mereka,” katanya.
METRO