PAHLAWAN LAPU-LAPU : DARI KISAH BENAR MENJADI HERO MOBILE LEGENDS

Permainan video yang anak-anak mahupun adik-adik kita main tu sebenarnya ada terselit kisah sejarah di sebaliknya. Watak-watak dalam permainan video tu ada sebahagiannya diambil daripada watak legenda.
Mungkin kita boleh anjurkan pembelajaran sejarah buat anak-anak kita dalam mereka berhibur bermain permainan video ini. Kongsikan kisah satu watak hero yang berasal dari Filipina, dikenali dengan nama Lapu-Lapu kepada mereka.
Asal Usul Lapu-Lapu
Lapu-Lapu sebenarnya merupakan pemerintah di Wilayah Mactan, sebuah pulau di Visayas yang kini menjadi sebahagian daripada Filipina moden.
Lapu-Lapu juga dikenali dengan panggilan Datu Lapu-Lapu dan disebut sebagai seorang pahlawan pertama dari kepulauan terbabit yang menentang penjajahan Portugis dalam sebuah peperangan di Mactan, dinamakan sebagai Perang Mactan. Soal agama Lapu-Lapu pula masih menjadi perdebatan sebab tiada catatan yang jelas mengenai agamanya.
Tapi dikatakan Lapu-Lapu tidak memakan khinzir atau haiwan darat yang lain. Secara logiknya sebab dia merupakan orang laut, jadi makanan orang laut adalah dari laut.
Di Filipina, Lapu-Lapu diangkat sebagai hero pertama bangsa Filipina di atas keberaniannya menentang penjajah Portugis. Lapu-Lapu juga dikatakan tidak berasal dari kepulauan Filipina, tetapi dari Borneo. Walaupun tarikh ketibaannya tidak diketahui, kebanyakan catatan sejarah menyatakan Lapu-Lapu sampai di pesisiran Sugbo (kini disebut sebagai Cebu) dari pulau Borneo. Pada ketika itu, Rajah Humabon sedang memerintah Sugbo.
Lapu-Lapu yang tiba di situ meminta Rajah Humabon mencarikan tempat untuk dia menetap di kawasan sekitar. Rajah Humabon menawarkan wilayah Mandawili (kini dikenali sebagai Mandaue) kepada Lapu-Lapu, termasuklah wilayah Opong. Tak lama lepas tu, Lapu-Lapu pun menjadi ketua wilayah dan digelar sebagai Datu Lapu-Lapu dari pulau Mactan.
Peperangan Menentang Penjajah Portugis
Lapu-Lapu juga dikenal dengan beberapa nama iaitu; Cilapulapu, Si Lapulapu, Salip Pulaka, Cali Pulaco, dan LapuLapu Dimantag. Walaupun para pengkaji sejarah tidak sebulat suara dalam menentukan nama sebenar Lapu-Lapu, tetapi kisah pahlawan ini selalu terpahat dalam sejarah penentangan penjajah Portugis, iaitu Ferdinand Magellan yang memulakan ekspedisi Sepanyol.
Pada tahun 1521, Ferdinand Magellan dengan tidak sengaja menemui Pulau Homonhon (kini dikenali dengan nama Samar) ketika dia dalam perjalanan ke kepulauan rempah di Indonesia. Ketika di kepulauan itu, Magellan memulakan penjajahannya melalui Rajah Humabon dengan mengajak mereka untuk memasuki agama Kristian. Insiden ini dikatakan sebagai permulaan agama Kristian diperkenalkan di Filipina.
Selepas mendapat layanan yang mesra dari Rajah Humabon, Magellan kemudian berusaha mengenalkan agama Kristian ke pulau-pulau berdekatan seperti Mactan, dan di sinilah kesilapan besar Magellan sebab pulau Mactan diketuai oleh Lapu-Lapu. Lapu-Lapu tidak menerima tawaran Magellan dan selepas itu berlakulah Perang Mactan. Mengikut catatan, Rajah Humabon sendiri yang menjadi batu api untuk tentera Magellan berperang melawan Lapu-Lapu dan tenteranya.
Lapu-Lapu bersama bala tenteranya seramai 1,500 orang menyerang tentera Ferdinand Magellan dengan menggunakan tombak dan parang. Magellan terbunuh di dalam peperangan tersebut. Tidak lama lepas tu, Lapu-Lapu dikatakan kembali ke tempat asalnya, iaitu di Borneo dan menghabiskan sisa hidupnya bersama anak-anak dan isterinya.
Satu Penghormatan Di Filipina
Bagi menghormati kemenangan Lapu-Lapu, monumen tembaga setinggi 20 meter didirikan di pulau Mactan, dan kota Opon di Cebu diubah nama menjadi Kota Lapu-Lapu. Setiap tahun, Kota Cebu akan mengadakan sambutan pada 27 April yang disebut Kadaugan sa Mactan (kadaugan bermaksud bebas untuk semua) bagi memperingati kemenangan dalam Pertempuran Mactan.
Jadi itulah kisah pahlawan yang dikenali dengan nama Lapu-lapu ini sehingga ia dijadikan watak hero dalam permainan video. Lepas ni bila bermain game, tidaklah hanya bermain kosong sahaja, tapi ada pengetahuan tentang sejarah watak hero yang sedang dimainnya itu.
Sumber Nizam Ali

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button