Lima graduan UiTM terlibat nahas
Seorang pelajar UiTM mengalami cedera parah, manakala empat lagi cedera selepas kereta Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas melanggar penghadang jalan di Kilometer 396 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), awal pagi semalam
Oleh Azrin Muhammad
KUALA LUMPUR – Hasrat lima graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menghadiri majlis konvokesyen terbantut apabila terlibat nahas jalan raya di Kilometer 396 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus).
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, kejadian berlaku berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Sepasukan 12 anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dan Tanjung Malim telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan kecemasan pada pukul 5.35 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta Proton Saga dinaiki lima wanita berusia 21 tahun terbabas melanggar penghadang jalan,” katanya dalam satu laporan media tempatan, di sini, hari ini.
Tambahnya, seorang daripada lima mangsa mengalami kecederaan parah akibat tersepit di bahagian hadapan, manakala empat lagi hanya cedera ringan.
Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.