UMNO Pernah Diperkecil, Kini Bangkit dan Bergerak Ke Depan

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan membuktikan bahawa terdapat kesepaduan parti yang mempunyai mekanisme jentera di pelbagai lapisan di akar umbi malah menolak mereka yang pernah memperkecilkan kekuatan UMNO dan kepimpinannya.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN),begitu juga gelombang ‘Keluarga kita BN’ perlu digerakkan secara bersepadu untuk menggandakan kekuatan BN dan kesemua ini perlu dilakukan dengan tekad yang kuat dan semangat perjuangan yang luhur.

“Kita tidak gentar di sebalik cubaan pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat kesepaduan parti ini kerana takut dan tidak senang dengan pemulihan dan kebangkitan UMNO.



“Mereka tahu apabila Parlimen bubar maka mimpi ngeri mereka semakin tiba, yang lompat parti dihukum oleh pengundi mereka sendiri sebelum ini. Ramai juga takut tewas dan ditolak rakyat kerana prestasi buruk mereka di kawasan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Dalam hantaran sama, beliau turut menyorot perjalanan UMNO/BN selepas PRU14 yang melalui pelbagai cabaran termasuklah pendakwaan di mahkamah kepada kepimpinan parti.

Kenyataan penuh beliau seperti berikut:



1. Saya terus merafak kesyukuran atas keputusan mahkamah semalam hari yang membuat keputusan membebaskan 40 pertuduhan terhadap saya.

2. Selama ini saya telah dilabel dengan pelbagai persepsi negatif untuk memperlekeh, memperkecil, menolak UMNO keseluruhan dan juga cubaan untuk menolak saya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN kerana mereka tahu, tanpa saya, UMNO lebih mudah diperkotak-katikkan sesuka hati mereka.

Misalnya ada yang sengaja menggunakan label kluster mahkamah kepada saya namun tidak pula menggunakan label tersebut kepada pemimpin pembangkang. Sikap double standard ini mencerminkan wajah sebenar musuh politik kita.

Pengalaman saya dikenakan oleh musuh politik menjadikan saya lebih matang, muhasabah diri, belajar mengenali musuh luaran dan musuh dalam selimut. Saya boleh maafkan tapi saya tidak akan lupakan sebagai pengajaran asam garam politik.



3. Saya kekal berpendirian pendakwaan terhadap saya adalah pendakwaan terpilih ketika zaman PH, kerana saya telah diminta oleh Dr Mahathir untuk lompat parti, sertai Parti Bersatu dan membubarkan UMNO. Mahathir suruh saya maklumkan kepada ahli UMNO supaya sertai PPBM dan minta saya lupakan UMNO.

4. Secara tegas saya menolak dan menyatakan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kubur saya akan banjir keesokannya, jika saya bubar dan keluar daripada UMNO untuk menyertai parti PPBM.

Penolakan tersebut adalah kerana saya tidak akan sekali-kali mengkhianati parti UMNO semata-mata untuk kesenangan peribadi jawatan dan kedudukan.

Sedangkan UMNO adalah teras harapan dan perjuangan orang Melayu khususnya dan menjadi tulang belakang rakyat Malaysia.



Tidak ada yang sempurna seluruh seperti Malaikat. UMNO tidaklah 100 peratus sempurna, namun UMNO adalah parti terbaik kalangan parti berteraskan Melayu Islam dan semangat Malaysia sebenar.

Walaupun ada segelintir dalam UMNO masih tidak akur dengan keputusan dan pendirian parti, sikap UMNO masih berhemah dan optimistik.

5. Hakikatnya, saya tetap berjuang mempertahankan UMNO setelah diberikan kepercayaan oleh akar umbi UMNO seluruh pelosok negara untuk menjalankan tugas sebagai Presiden.

6. Jawatan presiden perlu tegas, tidak goyang dengan ancaman politik dan berpendirian teguh kerana “jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
Maka, saya tidak gentar mempertahankan parti UMNO walaupun berdepan pelbagai ugutan dan ancaman politik. Saya tetap istiqamah meskipun ketika itu ramai pemimpin UMNO sendiri menjauhi UMNO kerana percaya dakyah Mahathir bahawa parti UMNO tidak ada masa depan.



7. Saya sendiri tidak pernah masuk politik melalui tingkap, sebaliknya karier politik saya melalui tangga politik dari bawah. Justeru, saya amat memahami suara akar umbi UMNO pelbagai lapisan.

8. Ketika itu parti UMNO berada pada titik terendah dan terlemah akibat ramai wakil rakyat UMNO berpaling tadah dan melompat parti tanpa memikirkan nasib dan masa masa parti UMNO tewas akibat politik persepsi.

9. Ketika UMNO tewas, diperkecil dan dijauhi oleh oportunis politik serta dan dijadikan mangsa oleh politik pembangkang saya mengingati ahli UMNO dalam Perhimpunan agung UMNO 2018 bahawa UMNO akan bangkit dan akan berjaya menjadi kerajaan kembali.

Namun ketika itu, ramai memandang sinis kenyataan tersebut.



Kini perdana menteri ialah daripada UMNO dan fasa seterusnya Insya Allah berkat doa dan perjuangan berterusan UMNO akan kembali dominan dalam membentuk kerajaan selepas PRU ke-15.

10. Kepada mereka yang pernah memperkecilkan kekuatan UMNO dan kepimpinan UMNO dan BN, PRU 15 akan membuktikan bahawa terdapat kesepaduan UMNO yang mempunyai mekanisme jentera di pelbagai lapisan di akar umbi.

Kita tidak gentar di sebalik cubaan pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat kesepaduan parti ini kerana takut dan tidak senang dengan pemulihan dan kebangkitan UMNO.

Mereka tahu apabila parlimen bubar maka mimpi ngeri mereka semakin tiba, yang lompat parti dihukum oleh pengundi mereka sendiri sebelum ini. Ramai juga takut tewas dan ditolak rakyat kerana prestasi buruk mereka di kawasan.

11. Gelombang “UMNO ialah keluarga kita” akan terus diperkasakan untuk memastikan setiap keluarga besar kita adalah ahli UMNO. Dengan ahli 3.4 juta kalau digandakan dengan 5 ahli keluarga kita sekurang-kurangnya, kekuatan UMNO mengatasi kekuatan asas UMNO.

12. Setiap lapisan PDM, cawangan dan bahagian perlu membina asas kekuatan ini. Atas prinsip ini jika ahli UMNO bersatu hati dan parti komponen BN bersifat realistik dan bergerak berdasarkan fakta dan data, BN akan kembali teguh dan ampuh.

13. Begitu juga gelombang “Keluarga kita BN” perlu digerakkan secara bersepadu untuk menggandakan kekuatan BN dan kesemua ini perlu dilakukan dengan tekad yang kuat dan semangat perjuangan yang luhur.

14. Marilah kita bersama-sama bangkit, melonjakkan momentum, bergerak secara bersepadu dan merapatkan barisan kita.

UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button