Kekurangan bekalan ayam perlu diselesaikan segera

Kuantan: Kerajaan diminta menyelesaikan segera isu kekurangan bekalan ayam dalam usaha membantu peniaga dan pengguna.

Bagi peniaga, kekurangan bekalan ayam menyebabkan mereka terputus sumber pendapatan ketika bergantung sepenuhnya kepada bahan mentah itu.

Pada masa sama, pengguna pula tidak mahu isu bekalan ayam itu berlanjutan hingga memberikan kesan kepada kenaikan harga selepas ini.



Peniaga ayam di Pasar Taman Tas, di sini Zakaria Md Nadzir, 52 berkata, isu kekurangan bekalan perlu diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, kekurangan bekalan ayam itu memberi kesan terutama menjejaskan sumber pendapatannya ketika permintaan ayam meningkat.

“Seperti minggu lalu, saya berdepan masalah terputus bekalan ayam dua hari.

“Kebiasaannya saya menempah antara 50 hingga 60 ekor tetapi yang diterima hanya 30 ekor sahaja.



“Dalam isu ini, saya minta kerajaan mengambil perhatian serius untuk mengatasi masalah bekalan dengan dengan segera,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Tinjauan di Pasar Taman Tas mendapati hanya dua peniaga menjual ayam dan jualannya habis dalam tempoh dua jam.

Sementara itu, seorang pesara, Hamdan Kamaluddin, 61, berkata, perkara utama yang perlu diberikan perhatian adalah harga bagi memastikan pengguna tidak terbeban.

“Dalam keadaan sekarang, boleh dikatakan berlaku kenaikan harga dan jika isu bekalan ayam ini tidak dapat diselesaikan, saya bimbang harga makanan berkaitan ayam akan naik,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button