Mayat murid hilang ditemui

DUNGUN: Murid yang hilang ketika mandi bersama lima rakan di Sungai Dungun dekat Kampung Rajawali di sini, petang semalam, ditemukan lemas pagi ini.

Mayat, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, ditemui oleh lima ahli keluarganya yang melakukan pencarian dasar sungai bersama anggota bomba dan polis, kira-kira jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata ahli keluarga mangsa bersama pihak berkuasa melakukan pencarian sebaik air sungai ketika itu mula surut.



Beliau berkata, pencarian itu berjaya menemui mayat mangsa kira-kira 12 meter dari tempat mangsa dilaporkan tenggelam.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan akan diserahkan kepada keluarga mangsa untuk urusan pengebumian,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, Abdul Rafiuddin bersama empat rakannya, Muhammad Qhalish Iman Hazimi,12; Muhammad Aqil Shafie,12; Wan Adip Hakimi Wan Ahmad Khairuddin,12; dan Raja Muhamad Anas Raja Ibrahim, 12, mandi di sungai itu, kira-kira jam 6 petang.

Selain Raja Muhammad Anas, mereka berempat kemudiannya berjalan untuk bermain di atas tebing pasir di situ dalam jarak kira-kira 30 meter dari darat.



Kesemua mereka bertindak berenang selepas air sungai secara tiba-tiba naik sehingga paras kira-kira lima meter sebelum Abdul Rafiuddin dan Muhammad Qhalish lemas.

Muhammad Qhalish berjaya diselamatkan dua rakannya itu sementara Abdul Rafiuddin gagal diselamatkan sebelum tengelam ke dasar sungai.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button