Malaysia selangkah ke final Piala Dunia Hoki 5s

Oleh – Syeikh Baran


Malaysia selangkah ke final Piala Dunia Hoki 5s
AKHIMULLAH (kiri) berjaya meledak satu gol buat Malaysia ketika menewaskan Trinidad & Tobago pada aksi suku akhir Piala Dunia Hoki 5s di Muscat sebentar tadi. – FIH

Malaysia terus menampilkan aksi konsisten pada Piala Dunia Hoki 5 Sebelah (5s) Lelaki 2024 di Muscat, Oman selepas berjaya melangkah ke separuh akhir sebentar tadi.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Muscat itu, skuad kendalian Wallace Tan menunjukkan semangat juang cukup tinggi apabila beberapa kali bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 5-4 ke atas Trinidad & Tobago.



Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada perlawanan tersebut dengan lima gol Malaysia dijaringkan Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin dan Syarman Mat Tee.

Manakala gol Trinidad & Tobago hadir menerusi Akim Toussaint, Mickell Pierre, Tariq Marcano dan Teague Marcano.

“Pasukan bermain sangat rajin hari ini serta bijak di atas padang. Selain itu, kami juga percaya dengan kemampuan diri sendiri sehingga dapat mencatat kemenangan ke atas Trinidad & Tobago.

“Aksi separuh akhir bertemu Poland, kami akan bermain mengikut taktikal dan peluang adalah seimbang untuk kedua-dua pasukan. Kami akan gunakan pengalaman selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018,” kata Kamarulzaman sebaik tamat perlawanan.



Hasil daripada kemenangan tersebut, Malaysia kini selangkah sahaja lagi untuk melakar sejarah layak ke perlawanan akhir apabila dijadualkan menentang Poland di separuh akhir tengah malam ini.

Lebih manis, skuad negara masih belum mencatat sebarang kekalahan pada kejohanan itu apabila muncul naib juara Kumpulan D selepas mencatat dua kemenangan dan satu seri.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button