Uruguay tanpa Araujo di Qatar
Barcelona: Pertahanan Uruguay, Ronald Araujo boleh melupakan aksi Piala Dunia selepas kelabnya Barcelona berkata, pemain itu akan menjalani pembedahan pangkal paha.
Pertahanan tengah itu bakal diketepikan antara dua hingga tiga bulan, menurut laporan di Sepanyol sekali gus tidak dapat beraksi dalam kejohanan di Qatar yang bermula 20 November.
Pemain Uruguay itu mengalami kecederaan pada awal babak pertama ketika menentang Iran dalam aksi persahabatan minggu lalu dan memilih untuk dibedah berbanding menjalani rawatan konservatif.
Araujo bertemu dengan jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez dan pegawai perubatan kelab semalam bagi membincangkan tindakan selanjutnya.
“Pembedahan itu akan dipantau petugas perubatan kelab di Turku, Finland,” kata Barcelona. “Sejurus pembedahan selesai, kenyataan perubatan terbaru akan dikeluarkan.”
Pembedahan itu juga menyaksikan Araujo terlepas aksi penting kelab termasuk baki saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan Clasico pada 16 Oktober.
METRO