Aliran tunai Sapura Energy masih lemah

KUALA LUMPUR: Aliran tunai Sapura Energy Bhd masih lemah meskipun kerugiannya mengecil pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022, demikian menurut penganalisis.

Affin Hwang Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, walaupun nilai tempahan kontrak syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu berada pada paras tertinggi tiga tahun, bank pelaburan itu menjangkakan Sapura Energy akan kekal rugi.

Ia berkata, isu utama kekal untuk mengurangkan asas kos besarnya, yang terbukti menjadi cabaran.



“Dengan penstrukturan hutang dalam ‘tanda tanya’, pelupusan aset dan perniagaan berkemungkinan besar untuk terus mengumpul modal kerja,” katanya.

Sapura Energy Bhd mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM2.59 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022 berbanding RM1.52 bilion pada tahun sebelumnya.

Ia berikutan peruntukan lebih rendah bagi kerugian terduga, kos projek dibelanjakan lebih rendah, kerugian yang rendah daripada syarikat bersekutu dan usaha sama, serta keuntungan pertukaran asing yang memberangsangkan pada suku berkenaan.

Sementara itu, pendapatannya pula meningkat 57 peratus kepada RM1.17 bilion berbanding RM747.12 juta suku sama tahun sebelumnya.



Affin Hwang Investment Bank berkata, walaupun suku kedua tahun kewangan 2023 menyaksikan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat lebih dua kali ganda dari suku tahunan ke suku tahunan, aliran tunai kekal lemah dengan hanya aliran masuk RM3 juta.

Ia berkata, hutang bersih melebar sedikit sebanyak satu peratus dengan paras penggearan pada 54.3 kali.

“Penstrukturan semula hutang, pembiayaan baharu dan pelan pelupusan aset/perniagaan kekal penting dalam tempoh terdekat untuk kekal bertahan memandangkan aliran tunai negatif yang konsisten.

“Pada pandangan kami, mengurangkan kos akan terbukti menjadi satu cabaran dan memerlukan lebih banyak masa,” katanya.



HLIB Research pula berpendapat, dengan paras hutang sebanyak RM10.3 bilion pada akhir suku kedua tahun kewangan 2023, menjadi satu tugas yang sukar bagi Sapura Energy untuk memulihkan operasinya dalam jangka terdekat dan sederhana berikutan peningkatan kos lebihan dalam projeknya.

Cabang penyelidikan Hong Leong Investment Bank Bhd itu berkata, ia juga berikutan isu kecairan daripada kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan susulan tekanan lembaran imbangan kerana ia kini secara rasminya adalah syarikat PN17 dan risiko penyampaian dan pelaksanaan kerja kerana Sapura Energy masih belum menunjukkan rekod prestasi yang memuaskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, RHB Research pula berkata, Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat Malaysia (CDRC) telah menerima permohonan Sapura Energy untuk menjadi pengantara rundingan penstrukturan semula hutangnya dengan pemberi pinjaman, dan syarikat itu dijangka mengemukakan cadangan untuk penstrukturan semula hutangnya dalam tempoh 60 hari mulai 1 September 2022.

“Pengurusan tidak memberi panduan mengenai paras hutang yang selesa selepas penstrukturan semula tetapi menegaskan bahawa pertukaran tunai melalui pengoptimuman kos berterusan dan pelan pelupusan juga adalah keutamaan.



“Selain potensi penukaran hutang kepada ekuiti sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula, kami tidak menolak kemungkinan penjualan sebahagian daripada 50 peratus kepentingannya dalam Sapura OMV, cabang penerokaan dan pengeluaran huluannya,” katanya.

BHOnline

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button