Atiq Azman minat motosikal, bukan jadi mat rempit

KUALA LUMPUR – Meskipun sering dinasihati keluarga dan teman rapat, pelakon Atiq Azman, mengakui, sukar untuk dia meninggalkan sukan motosikal kerana minat yang mendalam.

Pelakon berusia 22 tahun itu berkata, biarpun pernah ditimpa kemalangan dan berdepan kecederaan, dia tidak pernah patah semangat untuk meneruskan aktiviti itu.

“Tipulah kalau tidak trauma, tetapi saya masih boleh mengawal perasaan itu. Saya tetap teruskan minat, cuma kali ini saya lebih berhati-hati.



“Ayah ada juga melarang, kawan-kawan pun berpesan perkara yang sama. Tetapi, jiwa muda membuatkan saya susah untuk meninggalkan minat saya itu.

“Apa yang pasti, saya bukan mat rempit. Saya buat sebab minat dan insya-Allah, saya tidak akan berhenti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Atiq sebelum ini pernah mengalami kecederaan pada bahu kirinya akibat kemalangan motosikal berkuasa tinggi ketika menuju ke Bukit Fraser pada 11 Mac lalu.

Ketika kemalangan, Atiq atau nama sebenarnya, Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, bersama rakan artis, Tajul dan Afieq Shazwan sedang melakukan konvoi motosikal berkuasa tinggi.



Pelakon filem Rasuk itu menegaskan, dia bukan seperti ‘mat rempit’ yang gemar mencari masalah atau mengganggu pengguna jalan raya.

“Saya selalu konvoi dengan kawan-kawan. Tapi, saya mahu tekankan yang saya bukan ‘mat rempit’ yang mengganggu pengguna jalan raya. Saya ini mat motor, mat rempit itu lain.

“Saya tunggang motosikal sebagai hobi untuk luangkan masa bersama kawan-kawan,” ujarnya.

© Utusan Online 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button