Cabaran pertama anak didik Elavarasan

Kuala Lumpur: Cabaran beraksi di sebelah petang bakal menjadi ujian sukar buat skuad bawah 22 (B-22) tahun negara pada aksi pertama menentang Kemboja dalam saingan Piala Merlion 2023 di Stadium Jalan Besar di Singapura, petang esok.

Kesukaran itu hadir memandangkan saingan berkenaan berlangsung di bulan Ramadan di mana pemain beragama Islam perlu menjalani ibadah puasa mulai hari ini, dan situasi itu pastinya memberi kelebihan buat pasukan lawan.

Pengendali pasukan, E Elavarasan berkata, beliau berharap pemain akan tetap dapat memberikan aksi terbaik kerana saingan empat penjuru itu adalah medan penilaian terakhir sebelum skuad terbaik dipilih ke Sukan Sea di Kemboja, Mei ini.

“Kita kini berada di peringkat terakhir persiapan pasukan dan saya harapkan yang terbaik dari pemain saya.



“Cuma kita ada satu ‘setback’ iaitu kita terpaksa bermain di waktu petang di bulan Ramadan. Ia satu cabaran yang perlu dihadapi oleh pemain nanti,” katanya.

Dalam saingan itu, empat pasukan mengambil bahagian dengan Malaysia dan Kemboja diundi sesama sendiri, manakala Singapura dijadual bertemu Hong Kong di sebelah malam.

Pemenang dalam kedua-dua aksi itu akan mara ke final untuk penentuan juara, sementara yang tewas akan berentap untuk kedudukan ketiga dan keempat saingan.

Mengulas lanjut, Elavarasan yang juga penolong jurulatih skuad senior kendalian Kim Pan-gon akui pasukannya kini berada dalam fasa terakhir pemilihan dan menegaskan sedia merombak pemain dengan memanggil muka baharu sebaik pulang dari Singapura jika perlu.



“Ketika ini cara kita kendalikan skuad utama dan skuad B-22 ini dia ada peringkat iaitu peringkat satu, dua dan tiga.

“Ketika ini kita berada di peringkat ketiga untuk menghadapi Piala Merlion dan dari sini kita akan tahu macam mana pendedahan kita di peringkat antarabangsa samada cukup atau tidak dengan pemain sedia ada atau tambah dengan pemain baru,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker