Lizzy enggan dedah ‘cinta hati’

Elizabeth Tan mendedahkan kisah putus kasih bersama seorang jejaka Melayu

KUALA LUMPUR: Pengalaman putus cinta hingga mengalami depresi atau kemurungan menjadi pengajaran berharga buat penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan, 27.

Bagaimanapun, ia menjadi sebahagian memori duka dalam hidup penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Knock Knock dan Police Entry itu.



“Saya akui, kisah putus kasih bersama seorang jejaka Melayu hanya sebahagian faktor yang membuatkan saya murung. Ada isu lain juga menyebabkan saya tertekan.

“Bagaimanapun, kini, saya sudah semakin okay dan lebih positif dalam hidup. Cuma, saya berdepan dengan peluang kembali mengalami depresi jika tidak mampu mengawal perasaan. Ini memang tidak boleh dijamin.

“Tetapi, saya berharap tidak berdepan dengan kemurungan lagi. Saya percaya kita tak boleh mengawal pasangan apabila bercinta. Kalau curang dan ditinggalkan, ia di luar kawalan. Saya berdoa dipertemukan dengan calon suami yang baik,” katanya kepada BH Online.

Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy berkata, apa yang dilalui diterima dengan lapang dada.



“Sakit memanglah sakit, tetapi ia mengajar menjadikan saya lebih matang dalam hidup. Saya banyak belajar daripada pengalaman silam. Saya akui sekarang lebih sempurna menguruskan kehidupan.

“Saya lebih mengutamakan diri. Menyayangi diri sendiri mengatasi segala-galanya. Dahulu, saya seperti tiada pendirian dalam hidup.

“Jika lelaki layan dengan buruk atau memukul sekalipun, saya masih boleh menerima dan memaafkannya. Saya tak nafikan, pernah menjadi mangsa kekasaran dan dipukul teman lelaki. Saya ingatkan sayang sangat, hakikatnya tidak,” katanya.

Lizzy atau nama sebenarnya, Tan Su Mei berkata, dia menyemat impian mahu mendirikan rumah tangga, sekali gus menimang cahaya mata pada usia 30 tahun. Pengakuannya itu seakan memberikan bayangan penyanyi tinggi lampai itu sudah berpunya.



Saat diajukan pertanyaan, adakah jejaka Melayu yang sebelum ini pernah dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengannya menjadi pilihan hati, Lizzy hanya membiarkan tanda tanya tanpa jawapan pasti.

“Calon lelaki Melayu atau sebaliknya, biarlah rahsia. Saya juga tidak mahu mengesahkan sudah ada teman istimewa. Mungkin ya atau tidak.

“Bagaimanapun, jujurnya, saya sudah tidak sabar memiliki keluarga sendiri. Menjadi impian mendirikan rumah tangga sebelum berusia 30 tahun. Saya hanya memiliki masa tiga tahun lagi untuk melangkah fasa baru dalam kehidupan

“Saya tak boleh menunggu lama lagi. Jika diizinkan dan dipermudahkan, saya nak menimang anak pertama pada usia 30 tahun. Kiranya, sebelum angka 30 had usia saya menikmati zaman solo.



“Apabila tiba masanya, saya tak perlu kisah lagi menjaga perasaan sesiapa termasuk peminat yang majoritinya di kalangan lelaki,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lizzy berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian menjual pakaian untuk lelaki di bawah jenama Izzi, sejak tiga bulan lalu.

“Oleh kerana peminat saya ramai di kalangan lelaki, jadi tercetuslah bisnes ini. Saya tak boleh bergantung dengan dunia seni semata-mata, perlu ada punca pendapatan lain.

“Saya merancang sebahagian keuntungan akan diserahkan kepada badan tertentu atas paksi amal,” katanya.



Mengenai filem terbaharunya, Gila Gusti terbitan APAC Wrestling, Lizzy melakonkan watak Julia.

“Saya memegang watak Julia, gadis dalam gelanggang gusti. Saya dikira penyeri dalam filem ini. Bagaimanapun, filem ini tiada heroin kerana lebih mengutamakan watak hero.

“Jujurnya, saya tak berfikir panjang ketika menerima tawaran filem ini. Ini kerana saya memang sukakan sukan kombat seperti UFC dan MMA. Malah, hingga kini, saya masih berlatih menerusi kelas persendirian untuk MMA.

“Biarpun watak dalam filem ini tak memerlukan aksi pertarungan, saya tetap okay. Mana tahu ada peluang berlakon filem aksi pada masa akan datang,” katanya.



Lizzy berkata, dia juga teruja menantikan kemunculan single terbaharu berjudul Beku.

“Kali terakhir saya muncul dengan single Shh, tahun lalu. Rindu nak muncul dengan lagu baharu, tetapi kita berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Single Beku berentak balada dan ia adalah lagu duet. Ia sudah dirakamkan. Siapa rakan duet itu biarlah menjadi rahsia dahulu. Ia ciptaan Omar K yang juga antara komposer kesukaan saya. Tiada aral, single ini akan dilancarkan pada Januari depan,” katanya.

Lelaki henti ikuti Elizabeth Tan, warga maya minta jangan ‘rampas’ hak peribadi penyanyi itu

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button