Switzerland singkir Czech
St Gallen, Switzerland: Dua gol dalam tempoh dua minit daripada Remo Freuler dan Breel Embolo membantu Switzerland menewaskan Republik Czech 2-1 di Kybunpark awal pagi sekali gus menyingkirkan lawannya itu daripada Liga A dalam saingan Liga Negara-Negara.
Switzerland yang akan beraksi di Piala Dunia menduduki tangga ketiga dengan sembilan mata daripada enam perlawanan, dua mata di belakang pendahulu Sepanyol manakala Czech hanya meraih empat mata.
Freuler menanduk hantaran Xherdan Shaqiri pada minit ke-29 dan sejurus sepak mula dilakukan, Embolo memanfaatkan kesilapan pemain Czech dan pantas melarikan bola sebelum merembat ke penjuru gawang untuk gol kedua pasukannya.
Pelawat mengurangkan defisit sebelum rehat menerusi rembatan Patrik Schick yang mendapat hantaran David Zima manakala Tomas Soucek menyaksikan penaltinya diselamatkan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer.
Dalam perlawanan lain, Scotland mendapat tiket promosi ke Liga A selepas seri 0-0 dengan Ukraine di Krakow yang sebelum itu menewaskan lawan sama 3-0 di Glasgow minggu lalu.
Serbia pula menduduki tangga teratas Kumpulan B selepas menewaskan Norway 2-0 di Oslo menerusi jaringan Dusan Vlahovic dan Aleksandar Mitrovic.
Sweden tersingkir ke Liga C selepas seri 1-1 dengan Slovenia di Solna manakala Greece meraih kemenangan kelima daripada enam perlawanan apabila menewaskan Ireland Utara 3-1 di Athens.
METRO