100 peratus graduan KTC Petronas dapat kerja

Kota Kinabalu: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melalui Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC), Sabah setakat ini sudah melahirkan 174 pelatih berkemahiran tinggi dalam bidang minyak dan gas di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Technical Training Sdn Bhd Idris Ibrahim berkata, 100 peratus graduan pusat latihan dikendalikan Petronas sejak 2011 itu mendapat pekerjaan dalam industri minyak dan gas serta industri lain.

Beliau berkata, KTC ditubuhkan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Petronas bagi menyokong pembangunan modal insan di Sabah, khususnya dalam industri minyak dan gas.



“KTC komited dalam membangunkan dan melengkapkan belia di Sabah dengan kemahiran dan kelayakan yang diperlukan untuk mereka menceburi pekerjaan dalam industri minyak dan gas,” katanya pada Majlis Konvokesyen KTC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Seramai 42 pelatih KTC ambilan 2017 dan 2018 menerima diploma masing-masing yang disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.

Turut hadir Setiausaha Pejabat Hal-Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah Datuk Awang Shaminan Awang Sahari, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Maria Chong, Ketua Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Syed Mohamad Muhafiz Syed Bakar dan Ketua Petronas Sabah dan Labuan Siti Ayu Abdul Wahab.

Sementara itu, Datu Rosmadi berkata, kerajaan negeri menghargai usaha Petronas yang kekal teguh dengan komitmennya terhadap pelaburan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, terutama di Sabah, meskipun industri global berdepan dengan pelbagai cabaran.



Katanya, ia termasuk penubuhan KTC, pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau dan penganugerahan tahunan Program Penajaan Pendidikan Petronas kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi.

Selain itu, katanya, Petronas juga menyumbang melalui program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) membabitkan lima institusi di Sabah.

Ia bagi membangunkan keupayaan teknikal belia di negeri ini, selain pelbagai lagi program yang menyumbang kepada pembangunan bakat untuk negeri dan negara.

Mengulas lanjut, Datu Rosmadi berkata, melalui Perjanjian Kerjasama Komersil (CCA) yang ditandatangani Kerajaan Negeri Sabah dan Petronas pada 7 Disember 2021, pelbagai usaha turut dirancang dan dilaksanakan kedua pihak untuk sama-sama membangunkan Sabah, termasuk modal insan.



“Melalui kerjasama ini, di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi, tumpuan kita adalah meningkatkan kecenderungan pelajar kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).

“Selain itu, fokus juga diberikan kepada meningkatkan bilangan pakar tempatan dalam industri minyak dan gas. Pembinaan KTC pada 2011 adalah usaha murni Petronas untuk menampung permintaan tenaga kerja dalam industri minyak dan gas di Malaysia, khususnya Sabah,” katanya.

KTC yang beroperasi bersebelahan Terminal Minyak Dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis adalah pusat latihan pertama di Sabah yang diakreditasi di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Pusat itu menawarkan program diploma secara sepenuh masa selama tiga tahun dalam bidang Instrumentasi Industri dan Kawalan Sistem-Pemantauan dan Kawalan (Tahap 4), Diploma Kemahiran Malaysia.



KTC turut bekerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) bagi menyediakan latihan perancah kepada belia Sabah melalui Program VISTA.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button