324 ekor kura-kura bernilai RM250,000 dirampas

KUALA LUMPUR – Disifatkan antara rampasan terbesar membabitkan pelbagai hidupan liar seludup khususnya kura-kura yang dijual sebagai haiwan peliharaan eksotik.

Rampasan terbaru membabitkan sebanyak 324 ekor pelbagai spesies kura-kura berasal dari pelbagai benua itu dianggarkan bernilai lebih RM250,000.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan penyeludupan haiwan liar dilindungi itu dibongkar hasil serbuan sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang dibantu anggota polis di sebuah premis di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang jam 9 pagi semalam.



Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 40-an ditahan untuk soal siasat sebelum pegawainya dibawa ke sebuah premis untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati kediaman itu dijadikan pusat penyimpanan pelbagai spesies hidupan liar dilindungi berasal dari luar negara.

“Lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit daripada Jabatan Perhilitan untuk menyimpan atau menjalankan perniagaan hidupan liar,” katanya.



Kadir berkata, rampasan membabitkan 89 ekor kura-kura spesies Geochelone Sulcata, 68 ekor kura-kura Yellow Footed Tortoise, 31 ekor kura-kura spesies Geochelone Elegans, 37 ekor spesies Geochelone Pardalis dan 23 spesies Common Snapping Alligator.

“Turut dirampas 31 ekor spesies Chinese Pond Turtle, dua spesies Aldabra Giant Tortoise, sembilan ekor kura-kura Yellow Bellied Slider, 12 ekor kura-kura Chinese Stripe Necked Turtle, seekor kura-kura Red Eared Slider, 19 ekor kura-kura Indian Spotted Turtle dan seekor Alligator Snapping Turtle.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM250,000 membabitkan 12 spesies kura-kura berasal dari India, Afrika, Amerika Utara dan Amerika Selatan.

“Semua hidupan liar itu disita dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Seberang Perai, Pulau Pinang. Lelaki itu ditahan dan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya.



© Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button