Dua warga asing ditahan suspek kes bunuh

 

Oleh Pena Merah

Dua warga asing ditahan suspek kes bunuh

Polis menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 26 dan 31 tahun awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes bunuh yang berlaku di sebuah kebun durian di Jalan Air Terjun, Chamang dekat sini



Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bergegas ke tempat kejadian selepas polis menerima maklumat kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun,

“Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian anggota badan mangsa.

“Seorang daripada suspek yang ditahan turut mempunyai beberapa kesan kecederaan dipercayai berpunca daripada pergelutan yang berlaku, manakala seorang lagi suspek berusia 31 tahun cuba melarikan diri ke kawasan berdekatan berjaya diberkas, ” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Katanya, mangsa dan kedua-dua suspek adalah pekerja di kebun durian itu.

“Polis berjaya merampas sebilah parang dan pisau dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.



“Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan punca kejadian masih belum diketahui,” katanya.

Susulan itu, Zaiham meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat BSJ, Asisten Superintendan Faizal Abdullah, menerusi talian 012-483 4439 atau Pusat Kawalan Daerah (DCC) di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-Berita Harian-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button