Sampah antara faktor pencetus banjir

Kuala Lumpur: Walaupun kapasiti kolam takungan dan lencongan bah berkeupayaan menyerap air banjir, namun terdapat beberapa faktor menjadi punca tetap berlaku banjir termasuk isu sampah, saliran dalaman dan intensiti hujan.

Sistem saliran dalaman adalah longkang di kawasan perumahan, perniagaan dan di tepi jalan yang di bawah bertanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pelbagai pihak lagi, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyelenggara sistem saliran utama.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai contoh saliran dalaman tidak berfungsi dengan baik kerana tersumbat akibat dipenuhi sampah.



“Kita juga mengakui kadang-kadang ada sistem yang dipasang memerlukan pemantauan. (Ada kes) waktu berlaku banjir ia pecah dan air banjir masuk kawasan luar bukannya masuk ke dalam kawasan takungan.

“Faktor ketiga, intensiti taburan hujan dengan jumlah sangat banyak dalam tempoh singkat. Banyak berlaku mutakhir ini yang kita tengok di seluruh negara seperti di Yan, Kedah, yang mana berlakunya taburan hujan luar biasa.

“Begitu juga di Baling, sebelum itu di Janda Baik. Taburan hujan yang terlalu lebat dalam tempoh singkat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Kesiapsiagaan JPS Dalam Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023, Pejabat Lembangan Sungai Klang (PLSK) Kolam Takungan Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.



Berkenaan isu sampah antara faktor penyebab banjir, Tuan Ibrahim turut meluahkan kekecewaan kerana ia berpunca daripada sikap pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata.

“Malah, di Kolam Takungan Banjir (KTB) Batu sahaja, JPS terpaksa menyelenggara dan membersihkan 60 tan sampah sebulan pada kos RM600,000 setahun. Itu untuk satu kolam takungan, bayangkan banyak mana terpaksa dibelanjakan. sudah tentu jutaan ringgit.

“Ada tular video satu lori di Pontian, Johor yang menunjukkan ada pihak membuang satu guni besar sampah dari lori ke dalam sungai, saya dah tengok, saya tak boleh maafkan pesalah itu.

“Saya sudah minta supaya petugas kita supaya segera ambil tindakan. Saya fikir (tindakan itu) sangat tidak berakhlak, sangat tidak beradab.



“Kalau berlaku banjir (berpunca sampah), kita tak boleh menyalahkan hanya kepada pihak tertentu, semua kita bertanggungjawab,” katanya.

Justeru, beliau meminta kerjasama semua pihak sedar dan cakna bahawa isu sampah masih serius di negara ini yang perlu dipantau bersama.

“Kita kerjasama Insya-Allah. Kesedaran yang ada sudah bagus, banyak pihak sudah ambil tindakan. Tetapi masyarakat awam juga perlu ambil tindakan yang sama,” katanya.

Untuk rekod, katanya, sistem tebatan banjir utama Kuala Lumpur sahaja yang dikendalikan JPS mempunyai keupayaan dan lencongan air melebihi 75.5 juta meter padu air banjir bersamaan 30,200 kolam renang olimpik.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button