Azi dalam keadaan baik, masih di KL
KOTA BHARU: Ejen jualan kosmetik yang diselamatkan di Thailand selepas dilarikan sekumpulan lelaki di kediamannya di Tumpat pada 13 September lalu, berada dalam keadaan baik.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa Rosnazirah Mohd Naim, 36, kini masih berada di Kuala Lumpur dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat.
Tegasnya, tiada sebarang bayaran dilakukan sepanjang tempoh kehilangan wanita berkenaan.
“Alhamdulillah mangsa dalam keadaan baik dan kini berada di Kuala Lumpur. Sedikit masa lagi akan dibawa pulang.
“Tiada sebarang bayaran dibuat sepanjang kehilangannya dan saya turut berterima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang bekerja keras untuk kes ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
BHOnline