Bahasa, tamadun, budaya Melayu perlu terus diperkasa
Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian (tiga dari kanan) mendengar penjelasan daripada urusetia pameran sempena Kongres Antarabangsa Pemerkasaan Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Oleh Azrin Muhammad
BANGI – Isu bahasa, tamadun dan kebudayaan Melayu perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak berkepentingan, khususnya dalam kalangan ahli politik, pembuat dasar kerajaan, sarjana, sejarawan, budayawan dan seluruh lapisan masyarakat.
Menyedari itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjadi titik tolak penganjuran Kongres Antarabangsa Pemerkasaan Bahasa dan Tamadun Alam Melayu bertemakan Memperkasa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu, semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Prof. Datuk Dr. Wan Kamal Mujani, kongres yang berlangsung selama dua hari dengan penglibatan seramai 60 peserta itu dapat menjadi platform perkongsian pintar oleh tokoh-tokoh ilmuwan dalam bidang bahasa dan tamadun alam Melayu.
“Dalam kongres ini, para pembentang dan peserta dapat mengupas dan mengembangkan konsep tamadun alam Melayu yang menjadi tonggak utama kepada pembentukan semangat kenegaraan Malaysia dalam seluruh aspek kehidupan.
“Kongres ini juga diharap dapat memberi impak besar kepada ekosistem pendidikan tinggi negara dan memberi manfaat kepada masyarakat umum, khususnya dalam memperkasa Bahasa Kebangsaan dan Tamadun Melayu,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian hadir merasmikan Kongres Antarabangsa Pemerkasaan Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di Bangunan Canselori UKM.
Turut hadir Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman; TNC Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Dr. Mohammad Kassim; TNC Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.