Jualan Rahmah dah ada, belum hasrat wujud program mirip KR1M

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak berhasrat untuk mewujudkan program kedai runcit mirip Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata kerajaan sebaliknya mahu memperluaskan konsep Jualan Rahmah di pasar raya di seluruh 222 kawasan Parlimen.

“Setakat ini, kementerian belum berhasrat mewujudkan kedai runcit mirip Kedai Rakyat 1Malaysia kerana ada banyak kos dan kita juga mengkaji berkenaan kegagalan KR1M.

“Cara kita mengatasinya adalah dengan mengadakan Jualan Rahmah di pasar raya yang menawarkan potongan sehingga 30 peratus dan menerusi Belanjawan 2023, kita membentangkan RM100 juta untuk melaksanakan program ini di 222 Parlimen,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.



Beliau menjawab soalan tambahan Chiew Choon Man (PH-Miri) sama ada kerajaan bersedia mewujudkan program kedai runcit berkonsepkan Kedai Rakyat 1Malaysia supaya dapat menjual barangan harian pada harga lebih murah serta adakah kerajaan akan meneruskan program bank makanan.

Dalam pada itu, Fuziah turut berharap Ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk meluluskan peruntukan RM100 juta bagi program Jualan Rahmah di 222 Parlimen.

“Bajet 2023 telah membentangkan RM100 juta untuk program Jualan Rahmah di 222 Parlimen.

“Di semua Parlimen RM100 juta diperuntukkan dan saya mohon ahli-ahli Yang Berhormat untuk luluskan nanti di peringkat jawatankuasa,” katanya.



Mengenai bank makanan, Fuziah berkata, program itu akan diteruskan dan ditambah baik.

“Malah kita baru-baru ini meletakkan mesin ‘retort’ (pembungkusan pek makanan) di hotel-hotel supaya makanan lebihan itu dapat digunakan untuk ‘food banks’ (bank makanan),” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker