Aura Van Dijk semakin pudar

LIVERPOOL: Keadaan serba tidak menjadi buat Jurgen Klopp dan Liverpool pada permulaan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Daripada sebuah pasukan yang hanya tewas satu mata untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris sebanyak dua kali sepanjang lima musim lalu, Liverpool tampil hambar pada kempen kali ini.

Ketika juara bertahan, Manchester City tampak semakin sukar disekat, Liverpool pula jauh ketinggalan di belakang pesaing utamanya itu.



Liverpool kini di tangga kelapan liga pada sembilan mata selepas enam perlawanan, sembilan di belakang pendahulu, Arsenal dan lapan di belakang City yang menghuni tangga kedua. Bagaimanapun kedua-dua pesaing itu bermain lebih satu perlawanan.

Dengan empat pemain tengahnya cedera, penyerang bintang belum menemui sentuhan berbisa dan benteng yang rapuh, Klopp kini berdepan bulan penting yang akan menentukan kedudukan pasukannya musim ini.

Selain tiga aksi Liga Juara-Juara Eropah yang wajib dimenangi, Liverpool turut berdepan Arsenal yang bermula cemerlang musim ini, sebelum bertemu City kendalian Pep Guardiola seminggu kemudian.

Selepas menewaskan City 3-1 dalam aksi Perisai Komuniti musim ini, Klopp dilihat seakan mampu menebus kekecewaan musim lalu dalam aksi liga.



Bagaimanapun sepanjang dua bulan sejak kemenangan itu, nasib berbeza dialami kedua-dua pasukan Inggeris berkenaan.

Liverpool hanya menang dua perlawanan dalam enam aksi Liga Perdana Inggeris selepas kemenangan itu – menewaskan Bournemouth 9-0 dan mengatasi Newcastle dengan jaringan lewat permainan empat hari kemudian.

Kini anak buah Klopp berdepan cabaran lebih getir sepanjang tempoh 29 hari yang akan menyaksikan mereka beraksi secara purata berselang tiga hari.

Mohamed Salah menjadi sandaran utama selepas ketiadaan Sadio Mane, dan pertukaran beberapa kali di bahagian tengah mendedahkan kelemahan benteng Liverpool musim ini.



Sukar dipercayai, pertahanan kental Liverpool, Virgil van Dijk yang pernah mengharungi satu musim tanpa gagal menghalang gelecekan pihak lawan – kini semakin hilang auranya.

Van Dijk masih lagi bek terbaik di Liga Perdana Inggeris, tetapi pihak lawan mula merasakan dia juga mempunyai kelemahan dan boleh ditewaskan.

Buktinya, gawang Liverpool dibolosi terlebih dahulu dalam lima daripada lapan perlawanan pertama musim ini. Hanya sekali ia berakhir dengan kebangkitan yang menghasilkan kemenangan – tandukan minit ke-98 Fabio Carvalho ketika menentang Newcastle.

Apa yang perlu dilakukan Liverpool untuk terus menghidupkan peluang musim ini ialah dengan mengurangkan jurang kepada empat atau lima mata menjelang Disember.



Namun apa yang dirisaukan, sebaik pemain-pemainnya kembali dari Piala Dunia Qatar pada Disember, masalah kecederaan akan kembali membelenggu skuad kendalian Klopp.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button