Taikun hartanah Vietnam dijatuhi hukuman mati

Oleh – Syeikh Baran


Taikun hartanah Vietnam dijatuhi hukuman mati
Truong My Lan, pengerusi pemaju utama Van Thinh Phat, menghadapi perbicaraan di Bandar Raya Ho Chi Minh pada 11 April 2024. – Foto AGENSI

Seorang hartawan terkenal Vietnam dijatuhi hukuman mati hari ini dalam satu daripada kes rasuah terbesar dalam sejarah dengan anggaran ganti rugi bernilai AS$27 bilion (RM128.19 bilion).

Panel tiga juri dan dua hakim menolak semua hujah pembelaan pengerusi pemaju utama Van Thinh Phat, Truong My Lan yang didapati bersalah menipu wang tunai daripada Saigon Commercial Bank (SCB) selama sedekad.



“Tindakan defendan… menghakis kepercayaan orang ramai terhadap kepimpinan parti (Komunis) dan negeri,” menurut keputusan perbicaraan di hab perniagaan selatan Ho Chi Minh City.

Lan menafikan tuduhan itu dan menyalahkan orang bawahannya.

Selepas perbicaraan selama lima minggu di hab perniagaan Ho Chi Minh City, 85 yang lain turut menghadapi keputusan dan hukuman atas tuduhan yang terdiri daripada rasuah serta salah guna kuasa kepada peruntukan dan pelanggaran undang-undang perbankan.

Lan menggelapkan AS$12.5 bilion (RM59.34 bilion), namun pendakwa raya hari ini berkata, jumlah kerosakan yang disebabkan oleh penipuan itu kini berjumlah AS$27 bilion (RM128.19 bilion), angka yang bersamaan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK 2023) negara.

Hukuman mati adalah hukuman yang luar biasa dijatuhkan dalam kes sedemikian.



Penahanan Lan dan beberapa individu adalah sebahagian daripada tindakan membanteras rasuah di negara itu.

Ramai pegawai dan ahli elit perniagaan Vietnam disiasat berhubung rasuah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lan dalam ucapan terakhir kepada mahkamah minggu lalu berkata, dia terfikir untuk membunuh diri.

“Dalam keadaan terdesak, saya terfikir mengenai kematian.



“Saya sangat marah kerana cukup bodoh untuk membabitkan diri dalam persekitaran perniagaan yang sangat sengit, sektor perbankan, yang saya kurang mengetahuinya,” katanya, memetik laporan media kerajaan. – AFP

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button