RM552.51 juta milik warga emas lesap ditipu scammer sejak 2021

Oleh – Syeikh Baran


RM552.51 juta milik warga emas lesap ditipu scammer sejak 2021
Gambar Hiasan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan jumlah kerugian melibatkan warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh 2021 hingga 2023 mencecah RM552.51 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu membabitkan 5,533 mangsa (6.4 peratus) daripada keseluruhan 86,266 individu yang direkod menjadi mangsa penipuan dalam talian dalam tempoh tiga tahun itu membabitkan jumlah kerugian RM2.76 billion.



Katanya, meskipun bilangan mangsa dalam kalangan warga emas berusia 61 tahun ke atas adalah rendah berbanding kelompok yang lain, namun nilai kerugian dialami mereka amat tinggi.

“Trend yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini di mana daripada 11,918 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga 19 Mei lalu, seramai 990 mangsa (8.3 peratus) adalah warga emas.

“Daripada tempoh 2021 hingga 2023, jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan bagi kes penipuan dalam talian adalah sebanyak RM2.76 bilion dan daripada jumlah ini, kerugian yang dicatatkan membabitkan mangsa warga emas adalah RM552.51 juta (20 peratus).

“Begitu juga bagi tahun ini, sehingga 19 Mei lalu, kerugian dicatatkan melibatkann mangsa warga emas sudah mencecah RM130.49 juta (27.7 peratus) daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM471.5 juta,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ,di sini, hari ini.



Lebih membimbangkan, bagi tempoh ini, kelompok warga emas mencatatkan jumlah kerugian tertinggi berbanding lain-lain kategori umur.

Tambah beliau, daripada 5,533 mangsa warga emas yang direkodkan sepanjang tempoh tiga tahun lalu, 2,631 individu (47.6 peratus) adalah mangsa kepada penipuan jenayah telekomunikasi seperti ‘phone scam’, penyamaran dalam talian, penipuan SMS dan tawaran hadiah secara dalam talian.

“Trend yang sama dicatatkan bagi tahun ini sehingga 19 Mei, yang mana daripada 990 mangsa warga emas yang direkodkan, 39.4 peratus atau 390 daripadanya adalah membabitkan jenayah telekomunikasi.

“Apa yang membimbangkan, nilai kerugian yang dicatatkan oleh kelompok mangsa warga emas ini adalah yang tertinggi berbanding kelompok umur yang lain,” ujarnya.



Jelas beliau, rekod PDRM dalam tempoh tiga tahun itu menunjukkan jumlah kerugian membabitkan jenayah telekomunikasi dialami mangsa warga emas sebanyak RM253.93 juta daripada jumlah keseluruhan RM873.84 juta.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button