Shakira cuba buat Pique cemburu?
BARCELONA (Sepanyol): Ketika Gerard Pique meneruskan kehidupan cintanya selepas berpisah dengan Shakira, penyanyi Colombia itu dikatakan mahu menuruti jejak langkah bintang bola sepak Barcelona itu apabila didakwa mahu bertemu kembali dengan bekas teman lelakinya Antonio de la Rua.
Shakira mempunyai hubungan lebih 11 tahun dengan De la Rua, lelaki terakhir menjadi kekasihnya sebelum dia bertemu Pique, bintang pertahanan Sepanyol dan Barcelona.
Bagaimanapun selepas mendapat dua cahaya mata ketika hidup bersama, penyanyi dan pemain bola sepak itu berpisah beberapa minggu lalu.
Pique tidak mengambil masa yang lama untuk mencari pasangan, malah dilaporkan sudah pun berpacaran dengan Clara Chia Marti ketika masalahnya dengan Shakira masih belum selesai.
Walaupun pelantun suara dari Amerika Selatan itu hanya berfikir untuk menyembuhkan lukanya dan anak-anak, pertemuan semula dengan De la Rua hampir menjadi kenyataan.
Karina Lavicoli, dari program TV Argentina ‘Socios del Espectaculo’, mendedahkan anak bekas presiden Fernando de la Rua dan Shakira sudah berhubung menerusi telefon dan Antonio bersedia membantu warga Colombia itu dalam segala hal yang diperlukannya, malah mereka dikatakan bersetuju untuk bertemu di Miami, Amerika Syarikat.
“Saya berada dalam kedudukan untuk menyatakan Shakira dan Antonio de la Rua sudah menyambung semula hubungan melalui panggilan telefon dan pertemuan yang dirancang kemudian, kerana dia sedang melalui masa yang amat sukar. Ini sesuatu yang menggemparkan!” kata penyampai TV itu yang mencetus kejutan dalam kalangan rakan sekerjanya.
Shakira dan De la Rua bercinta lebih 11 tahun dan warga Colombia itu pernah mendedikasikan beberapa lagu untuknya termasuk “Dia de enero” dan lain-lain.
Beberapa minggu selepas berita perpisahan Pique dengan Shakira, warga Argentina itu menghubungi bekas kekasihnya dan kini mereka hampir untuk bersatu semula.
Walaupun ia hanya khabar angin, Shakira sendiri berkata dalam temu bual baru-baru ini buat masa ini dia tidak akan mencari pasangan, kerana dia perlu menunggu “luka di dadanya sembuh dan kemudian kita akan lihat apa yang berlaku”.
Adakah De la Rua lelaki yang mampu membantu menyembuhkan lukanya itu?
BHOnline