Skim PPPT fokus kelestarian kecemerlangan
Seramai 150 orang panel bersidang selama dua hari sempena Simposium Kebangsaan Panel Penilai Kesepakaran Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) 2022 Avillion, Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Oleh Azrin Muhammad
PORT DICKSON – Seramai 150 orang panel bersidang selama dua hari sempena Simposium Kebangsaan Panel Penilai Kesepakaran Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) 2022 dalam usaha melestarikan kecemerlangan skim perkhidmatan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad, sebanyak empat modul berkaitan Kriteria Kecemerlangan Skim DH telah dibentangkan oleh pembentang yang berpengalaman untuk meningkatkan lagi pengetahuan dalam kalangan kesemua ahli panel.
“Saya amat berbangga kerana simposium ini dapat dilaksanakan dan saya amat hargai kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh semua pihak dalam usaha membantu melestarikan kecemerlangan Skim PPPT,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, Zainab merasmikan Simposium Kebangsaan Panel Penilai Kesepakaran Skim PPPT di Avillion, Port Dickson yang dianjurkan oleh Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya (BKPK) JPPKK.
Turut hadir, Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK, Roslee Yahya; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan JPPKK, Abdul Razak Sabtu dan Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya JPPKK, Zainab Othman.
Sementara itu, Zainab juga berkata, para peserta juga didedahkan dengan garis panduan baharu iaitu Garis Panduan Panel Penilai Kesepakaran Bagi Penilaian Kriteria Kecemerlangan Kenaikan Pangkat PPPT.