Ujian sulung Cheng Hoe bersama Selangor

KUALA LUMPUR: Aksi berdepan Melaka United FC saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini menjadi ujian sulung buat ketua jurulatih baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe selepas hanya seminggu diberi mandat.

Beraksi di laman sendiri dan menentang skuad Hang Tuah yang dikatakan berdepan isu ‘dalaman’, bekas pengendali skuad Harimau Malaya berkenaan dijangka tiada masalah untuk meraih keputusan positif.

Malah, Cheng Hoe juga pastinya mahu mencipta sejarah manis pada penampilan pertamanya bersama skuad Gergasi Merah dengan melakar kemenangan selepas meninggalkan skuad Harimau Malaya sebelum ini.



Paling menjadi tumpuan penyokong sudah semestinya mengenai corak permainan yang bakal ditampilkan Selangor meskipun beliau hanya dilantik mengemudi pasukan itu pada Ahad lalu.

Walaupun masih terlalu awal, namun mungkin ada sedikit perubahan yang bakal ditampilkan juara Piala Malaysia 33 kali itu dengan Cheng Hoe juga pernah mencorak permainan menarik buat Kedah.

Selangor ketika ini menduduki tangga kelapan Liga Super daripada 12 pasukan dengan menghimpun 20 mata menerusi 18 perlawanan, ketinggalan 23 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang gah dengan 43 mata selepas 17 aksi.

Dalam pada itu, juara bertahan Liga Super lapan kali berturut-turut, JDT pula akan melayan kunjungan pasukan tangga ketiga, Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ibrahim malam dengan sasaran mengutip mata penuh.



Skuad Harimau Selatan yang berada pada prestasi terbaik mereka berbanding musim-musim sebelum ini, memburu kemenangan ke-15 dalam liga musim ini selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dan terus gah di puncak liga.

Malah, skuad kendalian Hector Bidoglio itu juga memiliki segala kelebihan untuk mengatasi anak buah K Devan ketika skuad Harimau Selatan sedang menghampiri kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut.

Namun, Negeri Sembilan juga membawa misi besar kerana jika tewas, mereka boleh jatuh ke tangga keempat seandainya Terengganu FC (TFC) berjaya menundukkan Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

TFC yang berada di tangga keempat hanya dibezakan tiga mata dari Negeri Sembilan dengan tempat ketiga Liga Super menjadi rebutan kerana ia turut menjanjikan slot ke Piala AFC tahun depan selepas juara Piala FA menjadi milik JDT.



Justeru, dengan hanya berbaki empat perlawanan, TFC yang juga naib juara Piala FA wajib mengalahkan Sabah untuk mencerahkan peluang mereka mencapai sasaran beraksi di pentas Asia tahun depan.

Perkara itu semestinya tidak mudah kerana Sabah juga sudah melaungkan amaran awal tidak mahu pulang dengan tangan kosong kerana kedudukan mereka di tangga kedua liga masih belum selamat.

Sementara itu, Kedah Darul Aman FC akan melayan kunjungan PJ City di Stadium Darul Aman dan Sri Pahang akan berdepan Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button