Bellingham cipta sejarah ketuai Dortmund

DORTMUND: Jude Bellingham melakar sejarah apabila menjadi kapten paling muda Bundesliga.

Pemain England itu diberikan lilitan lengan ketika Borussia Dortmund berkunjung ke Cologne semalam dan menjadi ketua pasukan pada usia 19 tahun.

Ia menyaksikannya muncul kapten termuda dalam sejarah divisyen utama Jerman.



Walaupun pasukannya tidak menang apabila Dortmund tewas 3-2, Bellingham masih mencipta ‘assist’ bagi gol pembukaan.

Pelantikannya sebagai kapten dibuat selepas Marco Reus dan Mats Hummels tidak dapat beraksi.

“Jelas sekali saya amat kecewa dengan keputusan perlawanan hari ini tetapi ia satu penghormatan istimewa untuk menjadi ketua pasukan kelab hebat ini buat kali pertama.

“Tiada masa untuk terlalu memikirkan kekalahan ini kerana banyak lagi peluang untuk memperbaiki kesilapan hari ini pada perlawanan seterusnya. Heja BVB,” tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.



Bellingham juga banyak dikaitkan dengan perpindahan dari kelab Jerman itu.

Kelab ternama Eropah seperti Manchester United, Liverpool, Real Madrid dan Chelsea semuanya berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Perancangan United bagi musim panas akan datang dilaporkan bergantung kepada Bellingham dan sasaran jangka panjang Frenkie de Jong menyertai projek Erik ten Hag.

Sementara itu, Liverpool dan Chelsea kedua-duanya mahu pemain tengah England itu menjadi pemain tonggak terbaharu mereka ketika mereka merancang untuk memantapkan bahagian tengah.



Bagaimanapun, Real Madrid dilaporkan bersedia untuk mencelah dan dikatakan menjadi destinasi pilihan utama Bellingham.

Manchester City juga berkongsi minat terhadap Bellingham, ketika Pep Guardiola mahukan pemain remaja itu sebagai pengganti jangka panjang kepada pemain seperti Kevin De Bruyne atau Ilkay Gundogan, kedua-duanya berusia 30-an.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button