Haaland sanjung prestasi cemerlang City
Manchester: Erling Haaland menyanjung persembahan menakjubkan Manchester City apabila penyerang Norway itu mencipta satu lagi sejarah dengan jaringan hatrik ketika membelasah Manchester United 6-3, semalam.
Haaland memusnahkan United dengan mempamerkan penyudah berbisa dalam usaha muncul pemain pertama di Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menjaringkan hatrik dalam tiga perlawanan berturut-turut di tempat sendiri dalam kejohanan itu.
Selepas 52 tahun tanpa penjaring hatrik dalam aksi musuh setempat Manchester itu, City meraikan pencapaian berganda dalam perlawanan sama apabila Phil Foden turut melakukan hatrik di Stadium Etihad itu.
Haaland bermula dengan prestasi hebat bersama juara EPL itu sejak ditandatangani dari Borussia Dortmund dengan harga £51 juta (RM263.25 juta) dan pelaburan itu dilihat sangat berbaloi.
Dia kini menjaringkan 17 gol daripada 10 perlawanan di semua kejohanan di bawah bimbingan Pep Guardiola termasuk hatrik menentang Crystal Palace serta Nottingham Forest dan kini menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut bersama City.
“Memang bagus. Kami menjaringkan enam gol, cukup menakjubkan, menang di tempat sendiri dan menjaringkan enam gol memang bagus,” kata Haaland.
“Anda boleh lihat hantaran kami sesama sendiri. Kami sentiasa mahu mara dan menyerang. Itu yang saya cinta mengenai pasukan ini.
“Di akhirnya, ia memang menakjubkan. Tiada apa lagi mampu diperkatakan.”
Bagi menjadikan pertarungan setempat itu lebih manis, Foden dan Haaland adalah penyokong City sejak kecil lagi.
“Ia umpama mimpi menjadi kenyataan apabila bermain aksi derby sebagai penyokong City. Satu kepuasan dapat menjadi sebahagian daripada pasukan,” kata Foden.
Berbekalkan prestasi menakjubkan Haaland, City kini ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Arsenal dan mereka kini memburu gelaran kelima EPL dalam enam musim.
Ini adalah kali pertama United dibolosi dengan dua hatrik pada aksi liga utama sejak tewas 0-6 di tangan Huddersfield pada 1930.
Haaland dan Foden terpaksa berebut bola perlawanan – yang secara tradisinya diberikan kepada penjaring hatrik pada perlawanan bola sepak Inggeris – serta anugerah pemain terbaik perlawanan, yang kemudian diberikan kepada kedua-dua pemain itu.
Ia adalah pengalaman menyakitkan kali pertama pada aksi Manchester derby bagi pemain tengah United, Christian Eriksen dan pengurusnya, Erik ten Hag.
Eriksen tiada alasan apabila prestasi empat kemenangan berturut-turut dilakar United dalam liga berakhir dengan cara sedemikian.
“Semua orang pernah merasakan hari yang sangat buruk di pejabat. Kami bermula dengan tersilap langkah. Mereka berpeluang sebaik sepak mula dan kami perlu menyalahkan diri sendiri,” kata Eriksen.
“Kami membenarkan mereka bermain dengan kekuatan mereka. Fokus utama daripada perlawanan ini adalah diri kami sendiri. Kami perlu ubah banyak perkara dan perlu melakukannya dengan lebih baik.”
METRO