Harrif raih tempat kedua Tour de Taiwan

KUALA LUMPUR: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh berjaya meraih tempat kedua Peringkat 1 Tour de Taiwan 2022, hari ini.

Kejayaan Harrif itu sekali gus memberi amaran kepada pencabar lain di perlumbaan berkenaan dan juga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang dijadual membuka tirainya, 11 Oktober ini.

Namun, Harrif terpaksa akur dengan kemampuan pemenang dari pasukan Aisan Racing Team, Hayato Okamoto dalam perlumbaan yang menyaksikan penamat beramai-ramai itu dengan catatan 1 jam 44 minit dan 46 saat.



Pelumba 7 Eleven Cliqq-Air21 by Road Bike Philippines, Marcelo Felipe berada di tempat ketiga manakala Warut Paekrathok dari pasukan kebangsaan Thailand menemui garisan penamat di tempat keempat.

“Perlumbaan hari ini memang sangat sukar,” kata Harrif dalam satu hantaran video. “Disebabkan saya sudah lama tak menyertai perlumbaan, jadi memang terasa agak sukar sedikit.

“Namun (secara keseluruhan) Alhamdulillah, rakan sepasukan banyak membantu. Namun saya boleh katakan, untuk perlumbaan hari ini seperti kaki saya masih terasa berat lagi. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik lagi untuk TSG.”

Peringkat 1 yang berlangsung hari ini membabitkan laluan sejauh 83.2 kilometer (km) dan esok menyaksikan saingan berlangsung dari Taouyan City Hall ke Jiaobanshan yang membabitkan jarak 120.6km.



Peringkat 3 menyaksikan laluan dari HSR Hsinchu Station ke Shigang sejauh 156.5km sebelum Peringkat 4 berlangsung di Kaohsiung City.

Peringkat 5 yang juga kemuncak saingan berlangsung di Dapeng bay sejauh 149.8km pada Khamis ini.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button