Lelaki mengaku bersalah empat pertuduhan memindahkan wang haram

KOTA TINGGI – Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan digelar ‘Ustaz Nizam’ mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan RM295,550, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nizam Noh, 49, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsiah Ujang.

Bagi dua pertuduhan, Mohd Nizam yang juga pengarah syarikat Massnizam Group Travel & Tours Sdn Bhd didakwa memindahkan wang berjumlah RM234,100 hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat ke dalam akaun simpanan Maybank Islamic Berhad milik dirinya sendiri.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh yang juga pengarah syarikat Tetuan Massnizam didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan wang berjumlah RM17,450 daripada akaun semasa Bank Islam Malaysia Berhad milik syarikat itu ke dalam akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik Massnizam Group Travel & Tours Sdn Bhd.

Pertuduhan terakhir pula, tertuduh yang mempunyai dua isteri dan tujuh anak itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM44,000 hasil aktiviti haram daripada akaun syarikat agensi pelancongan itu ke akaun simpanan Maybank Islamic Berhad milik isteri keduanya, Massuzah Zakaria, 47.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Islamic Berhad Cawangan Sungai Rengit, Pengerang dan Cawangan Kota Tinggi serta Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Kota Tinggi di sini, antara 17 Mac 2019 dan 13 November 2019.

Tertuduh didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta sama.

Dia berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon satu tarikh lain bagi menyediakan fakta kes sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Beliau turut mencadangkan wang jaminan RM50,000 terhadap tertuduh memandangkan kesalahan dilakukan lelaki itu adalah kesalahan yang berat.

Bagaimanapun, Mohd Nizam yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan wang jaminan yang tinggi, malah tidak mampu melantik peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh 28 September ini ditetapkan untuk fakta dan hukuman.

Difahamkan, tertuduh ditahan di Terengganu, semalam sebelum dibawa ke Kota Tinggi untuk menghadapi pendakwaan yang pertama membabitkan empat pertuduhan.

Tertuduh dikatakan bakal berdepan pendakwaan di beberapa buah negeri memandangkan terdapat 104 laporan polis dibuat terhadapnya di seluruh negara.

Laporan polis itu difahamkan membabitkan 104 mangsa penipuan pakej umrah di Johor, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Selangor dengan nilai kerugian lebih RM3.2 juta.

© Harian Metro 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker