JOHOR BAHRU: Seorang warga emas Orang Kurang Upayua (OKU) yang terperangkap dalam rumah selepas kediamannya di Jalan Sukun, Kampung Pasir di sini, dinaiki air diselamatkan anggota bomba hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada jam 4.37 petang.
Susulan itu, beliau berkata, seramai 11 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti Mistubishi Pajero ke tempat kejadian.
“Mangsa berusia 60-an tidak dapat berjalan dan terperangkap dalam banjir setinggi satu meter.
“Pihak bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan menggunakan satu unit ‘stretcher’ untuk memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, operasi terbabit tamat pada jam 6.07 petang.
Sementara itu, seorang penduduk, Halimi Kolan berkata, beberapa penduduk juga menemani warga emas berstatus OKU itu sementara ketibaan anggota bomba.
Beliau berkata, mangsa adalah pesakit strok dan ketika kejadian ahli keluarganya dipercayai berurusan di luar dan dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Kami tiada kemudahan bagi menyelamatkan lelaki berkenaan dan hanya mampu menemaninya sehingga Bomba tiba kerana khuatir air terus naik. Kami bersyukur kerana tiada kejadian diingini berlaku dan lelaki berkenaan juga dalam keadaan selamat.
“Kejadian seumpama ini menjadi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha mengatasi masalah banjir di perkampungan ini tanpa menunggu sehingga nasi menjadi bubur,” katanya.
Halimi berkata, kejadian banjir kilat berlaku sejak jam 3 petang hari ini adalah kali keenam sejak awal tahun.
Beliau berkata, keselamatan penduduk menjadi antara kebimbangan utama selain kerugian terpaksa ditanggung akibat kerosakan harta benda.
“Dalam kejadian pada hari ini, banjir kilat melanda perkampungan ini biarpun hujan lebat hanya kira-kira sejam.
“Fungsi rumah pam air dalam kolam takungan banjir menjadi tanda tanya kerana gagal mengatasi masalah banjir dan keadaan semakin buruk.
“Kerja kami setiap kali hujan lebat adalah memindahkan barangan dan menyelamatkan ahli keluarga, bayangkan sekiranya paras air semakin tinggi, ia boleh menimbulkan pelbagai risiko terutama bagi kanak-kanak dan warga emas,” katanya.
Banjir di perkampungan berkenaan didapati sudah surut dan penduduk melakukan kerja pembersihan di rumah masing-masing.
BHOnline
Like this:
Like Loading...
Related