Cheng Hoe belum ada pemain pilihan
KUALA LUMPUR: Peluang sentiasa terbuka buat mana-mana pemain bagi mengetuk ‘pintu’ kesebelasan utama Selangor FC (SFC) sebelum penilaian dibuat pada hujung tahun sebagai persiapan untuk musim depan.
Pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe mengakui masih terlalu awal untuk menilai ‘set’ kesebelasan utama pasukan itu, apatah lagi dia hanya mengendalikan satu perlawanan setakat ini yang berakhir dengan kemenangan 5-0 ke atas Melaka United (MU).
“Awal lagi (menilai kesebelasan utama) tetapi saya nampak kualiti pemain yang digantikan memberi impak yang terbaik. Saya harap pemain senior dapat memberi tunjuk ajar dan panduan kepada pemain muda.
“Pemain muda pula harus belajar sesuatu supaya menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang. Saya rasa semua pemain dapat menyerap suasana dan corak permainan yang dimahukan.
“Jadi, setiap pemain akan diberikan peluang secukupnya untuk dinilai pada hujung tahun dan bersedia mengharungi musim baharu nanti,” kata Cheng Hoe.
Dalam masa sama, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu turut menuntut anak buahnya supaya terus mempertingkat kualiti persembahan ketika saingan Liga Super hanya berbaki tiga perlawanan lagi.
“Saya mahu lihat peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan paling penting adalah mereka tunjukkan semangat juang yang tinggi dan punyai keyakinan.
“Sasaran untuk melihat peningkatan walaupun saya tetap melihat teknikal dan fizikal pemain semasa sesi latihan selain keserasian dan kefahaman sebagai satu pasukan,” katanya.
BHOnline