Siasat dakwaan coklat telur mengandungi salmonella

BRUSSELS: Pusat Pencegahan Penyakit dan Kawalan Eropah (ECDC) akan menyiasat berpuluh laporan membabitkan coklat telur didakwa mengandungi salmonella di sembilan negara di benua itu.

Kumpulan Konfeksi Itali, Ferrero menarik balik coklat telur Kinder Surprise dan beberapa produk lain di pasaran Sepanyol semalam, selepas melakukan perkara sama di Britain dan Ireland, Isnin lalu.

Salmonella ialah bakteria patogen yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti demam, kekejangan perut dan cirit-birit.

Ferrero berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga dan mengesahkan bahawa tiada produk coklat telurnya yang berada di pasaran didapati mengandungi salmonella.



ECDC dalam kenyataannya berkata, penularan itu dikesan selepas berlaku kadar luar biasa membabitkan kemasukan kanak-kanak ke hospital dengan sesetengahnya mengalami gejala klinikal yang teruk seperti cirit-birit berdarah.

“Agensi berkenaan bagaimanapun tidak menyebut Ferrero atau mana-mana syarikat lain namun memberi amaran bahawa kebanyakan kes membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah.

“Coklat telur Kinder turut terbabit namun tidak menjelaskan sama ada masalah itu hanya membabitkan produk berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Syarikat konfeksi Switzerland, Nestle, berkata pihaknya tidak menarik balik sebarang produk coklatnya dalam isu yang sama.

Rival Lindt & Sprunegli juga tidak terkesan dengan krisis kesihatan sedia ada.

Britain mencatatkan angka insiden paling tinggi dengan 63 kes mengikut laporan Selasa lalu.

ECDC berkata, negara lain yang mungkin turut mempunyai kes positif atau kebarangkalian berdepan situasi sama adalah Perancis, Ireland, Belgium, Jerman, Luxembourg, Belanda, Sweden dan Norway.

Agensi Kesihatan Kesatuan Eropah itu juga berkata, pihaknya menyiasat 134 kes disahkan atau disyaki salmonella bersama Penguasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA).

Beberapa negara turut menarik balik produk coklat telur sempena perayaan Easter termasuk Belgium, Perancis, Jerman, Ireland, Luxembourg dan Britain.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker