Ibu cemas, tiga anak terperangkap dalam kereta
KUALA SELANGOR: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila tiga anaknya termasuk pasangan kembar terperangkap di dalam kereta selepas kenderaan itu tiba-tiba terkunci di Bandar Baru Kuala Selangor, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.23 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat
(BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, wanita itu berhenti sebentar di hadapan rumah kawannya untuk mengambil barang. Secara tiba-tiba, pintu kereta jenis Proton Preve itu terkunci.
“Ketiga-tiga mangsa masing-masing berusia setahun terperangkap dalam kereta itu hampir 15 minit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norazam berkata, ketika kejadian juga enjin kereta terbabit dalam keadaan hidup.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan pasangan kembar perempuan.
“Anggota kemudian segera membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas.
“Semua kanak-kanak itu dikeluarkan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ibu mereka,” katanya.
Norazam berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 6.34 petang.
BHOnline