Beriadah ceriakan ‘anak istimewa’



Kuala Lumpur: Pasangan Mohd Azrul Abdul Wahid dan Nur Shahira Gulam Rasul diuji apabila tumbesaran anak bongsu mereka, Muhammad Hamka Hanaqi yang berusia empat tahun sebulan terbantut sejak lahir.

Keadaan berpunca akibat masalah genetik itu menyebabkan Muhammad Hamka Hanaqi menyusu menggunakan saluran tiub dan tidak dapat membesar dengan normal seperti kakaknya, Nur Hana Qarina, 5.

Meskipun memerlukan penjagaan rapi, Mohd Azrul, 31, dan Nur Shahira, 30, tidak membiarkan Muhammad Hamka Hanaqi atau mesra disapa Hamka terperap di dalam rumah sebaliknya membawa anak syurga mereka itu beriadah bagi melihat alam semula jadi.

Terbaru, kisah Hamka mendapat perhatian warganet selepas Nur Shahira memuat naik gambar anaknya berbaring dalam khemah di Facebook (Fb).



Menerusi perkongsian itu, Nur Shahira turut menceritakan pengalamannya dan suami membawa Hamka berkhemah tanpa sebarang masalah.

Bercerita lanjut, Nur Shahira, 30, yang menetap di Setiawangsa, di sini berkata, dia dan suami gemar melakukan aktiviti riadah seperti mendaki sebelum berumah tangga lagi.

“Bagaimanapun, selepas berkahwin dan dapat zuriat pertama, kami perlahankan aktiviti dan ingatkan dapat teruskan semula aktiviti selepas anak membesar.

“Belum sampai setahun, saya hamil anak kedua pula jadi memang tidak dapat jalankan aktiviti riadah memandangkan perlu beri perhatian kepada Hamka.



“Ikutkan, saya dan suami ada bawa keluar Hamka sebelum ini tetapi setakat ke taman permainan dan kolam renang saja bersama kakaknya, ” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, awal bulan lalu, baru datang keberanian untuk membawa Hamka beriadah jauh sedikit daripada rumah.

“Pada awalnya setakat berkelah saja tetapi kali kedua saya dan suami cuba bermalam di dalam khemah.

“Sebagai persediaan, kami membawa keperluan serta ubat Hamka dan agak mengejutkan apabila tidak meragam sepanjang malam.



“Saya perasan ketika mendukungnya, Hamka tengok saja pokok di sekeliling dan nampak macam nak bermain dan suka walaupun dia belum boleh bercakap,” katanya.

Menurut Nur Shahira, hantaran dimuat naiknya di Fb kelmarin sekadar untuk berkongsi pengalaman membawa anak syurganya beriadah.

“Sebenarnya, tujuan saya kongsi kisah itu adalah bagi mengetahui pengalaman ibu bapa lain kerana daripada situ, mungkin saya boleh belajar sesuatu.

“Tak sangka, banyak maklum balas diterima dengan rata-ratanya memberi komen positif dan mendoakan kami sekeluarga.



“Sebak pula dibuatnya apabila baca satu persatu komen dan terima kasih diucapkan.

“Mesej saya cuba sampaikan menerusi perkongsian itu adalah ibu bapa yang ada anak istimewa juga tidak seharusnya bersedih saja sebaliknya boleh bahagia serta teruskan minat mereka cuma kebahagiaan itu perlu dicari,” katanya yang merancang membawa lagi Hamka beriadah nanti.

Berkongsi perihal Hamka, Nur Shahira mengakui emosinya tidak menentu selepas bersalin kerana agak sukar menerima ujian dikurniakan anak istimewa.

Bagaimanapun, katany, sokongan keluarga dan orang sekeliling memberinya kekuatan untuk menerima ketentuan Ilahi.

“Kebetulan, ada beberapa rakan hamil sama waktu dengan saya jadi emosi agak terganggu apabila melihat mereka bersama anak ketika berpantang manakala Hamka ditahan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) selama 44 hari.

“Apa yang berlaku membuatkan saya mempersoalkan takdir tetapi dapat terima ujian selepas melihat ramai lagi anak kurang bernasib baik di NICU.

“Boleh dikatakan, emosi saya turun naik dan jujurnya risau berdepan masalah kewangan jika berhenti kerja demi menjaga Hamka tetapi syukur Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus.

“Daripada situ, saya belajar untuk terima semua ujian dengan lapang dada dan jangan takut kerana Allah tidak akan uji di luar kemampuan hamba-Nya,” katanya.

METRO



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker