Telan ubat 19 biji sehari
Kuala Krai: Di sebalik wajahnya yang tenang, tiada siapa menyangka Siti Aufa Mohd Rosdi, 10, menderita penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu disebabkan sindrom Nefrotik dan pelbagai penyakit lain sehingga perlu mengambil ubat sebanyak 19 biji sehari.
Ibunya Suhada Hamzah, 39, berkata anak kelima daripada sembilan beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia lima tahun, dan pada masa sama turut mempunyai penyakit darah tinggi serta sawan.
Menurutnya, pada awalnya dia sudah melihat perubahan pada Siti Aufa apabila dia mengalami kesukaran untuk membuang air kecil, selain mukanya juga sembab.
“Bagi mendapatkan kepastian, Siti Aufa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut.
“Doktor pakar mengesahkan Siti Aufa menghidap penyakit buah pinggang disebabkan sindrom Nefrotik dan apa yang lebih membimbangkan ialah penyakit yang dideritainya sama seperti arwah kakaknya, Siti Hawa yang meninggal dunia pada 2018.
“Degupan jantung ketika itu seolah-olah terhenti dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya sebagai seorang ibu apatah lagi anak diuji dengan penyakit pada usia masih muda sedangkan Siti Aufa seorang yang aktif,” katanya.
Suhada berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan sumbangan wang zakat dan barang keperluan harian di rumahnya di Kampung Stong, di sini.
Menurutnya, disebabkan penyakit itu, anaknya kerap ‘ponteng’ sekolah kerana keadaan kesihatan Siti Aufa tidak menentu berikutan antibodi yang lemah selain sering mengalami demam.
“Bagi memantau tahap kesihatannya, Siti Aufa perlu berjumpa pakar pediatrik di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebulan sekali.
“Malah, dia bersama suami, Muhd Rosdi Ismail, 55, dan lapan anak terpaksa menumpang di rumah abang sejak lebih lima tahun lalu disebabkan kesempitan hidup.
“Kehidupan kami sekadar cukup makan sahaja kerana suami yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor kini tidak lagi mampu melakukan kerja berat akibat penyakit saraf disebabkan kemalangan jalan raya selain terjatuh dari pokok sejak beberapa tahun lalu,” katanya yang menjual anak pokok durian selain mengambil tempahan makanan untuk menyara keluarga.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03020-41-00012554-3 atas nama Suhada Hamzah atau menghubunginya di talian 017-2408267.
METRO