Bas henti-henti percuma ke BSI elak kesesakan

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan bas henti-henti secara percuma bagi memudahkan pengguna ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) tanpa mengharungi kesesakan di laluan jambatan pejalan kaki JB Sentral-BSI.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bas berkenaan akan disediakan bermula hari ini sehingga 30 April.

Beliau berkata, perkhidmatan itu akan mengambil penumpang di Jalan Tun Razak (City Square) dan Jalan Jim Quee seterusnya ke Drop Off Point BSI dengan kekerapan setiap 10 minit.

“Kekerapan ini akan ditambah pada waktu puncak seperti hujung minggu dan cuti perayaan.



“Saya berharap dengan langkah yang diambil oleh kerajaan ini dapat mengurangkan kesesakan di JB Sentral dan BSI serta mampu memberikan keselesaan kepada pengguna.

“Ia sebagai langkah penyelesaian pantas yang perlu dilakukan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan rakyat di negeri ini,” katanya dalam hantaran di media sosial Facebook di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata, keputusan itu dibuat hasil ‘task force’ yang diwujudkan sebaik menerima maklumat berhubung kesesakan yang berlaku di BSI baru-baru ini.

Katanya, penyumbang masalah kesesakan itu adalah perkhidmatan bas keluar masuk BSI yang terhad dan pihak operator bas hanya akan beroperasi seperti sedia kala mulai 1 Mei 2022.



“Mereka menghadapi sedikit masalah disebabkan pandemik COVID-19.

“Lokasi masalah kesesakan yang dikenal pasti iaitu di laluan jambatan pejalan kaki antara JB Sentral ke BSI akibat kerja pembaikan escalator yang dijangka siap pada pertengahan bulan Jun 2022.

“Lif rosak yang tular baru-baru ini juga sudah dibaik pulih dan akan beroperasi seperti biasa hari ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, ribuan pekerja Malaysia memenuhi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) BSI untuk kembali bekerja di Singapura pada cuti hujung minggu.

Ia selepas lebih seminggu sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April lalu.

Kumpulan itu turut berkongsi pengalaman di Facebook dengan memuat naik gambar mereka beratur sehingga di tepi jalan utama CIQ itu antara sejam hingga hampir tiga jam sebelum melepasi pemeriksaan di sempadan negara dan Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura.

Hampir semua mereka masuk ke Singapura dengan berjalan kaki manakala yang lain menggunakan perkhidmatan bas.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker