Bajet 2023 akan dibentang esok, tiada permohonan bubar Parlimen oleh PM

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 akan dibentangkan petang esok oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, seperti dijadualkan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

Ini kerana Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk membubarkan Dewan Rakyat ketika majlis menghadap di Istana Negara petang tadi.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook malam ini, memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet petang semalam.



Menurut kenyataan itu, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Perkembangan terbaharu itu, meredakan seketika desas desus dan spekulasi kononnya Dewan Rakyat akan dibubarkan petang ini atau pagi esok, sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadual jam 4 petang esok.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kepemimpinan UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masih mahu mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat selepas Bajet 2023 dibentang atau diluluskan kelak.



Terdahulu petang tadi, Ismail Sabri diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira sejam. Kenderaan Toyota Alphard putih yang membawa Perdana Menteri memasuki Istana Negara pada jam 3.49 petang, sebelum keluar menerusi pintu utama pada jam 4.45 petang.

© Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button