Yvonne dan Zainoriah juara Miss Plus World Malaysia

 

Oleh Pena Merah

Yvonne dan Zainoriah juara Miss Plus World Malaysia
Yvonne (kiri) dan Zainoriah telah dinobatkan sebagai pemenang pada pertandingan MPWM 2023/2024 bagi kategori masing di Galaxy Banquet Hall, Sentul, Kuala Lumpur.

Selepas beberapa bulan berentap, Yvonne Chong dan Zainoriah Din dinobatkan sebagai juara Miss Plus World Malaysia serta Ms. Plus Intercontinental Malaysia 2024.

Acara penyampaian hadiah kepada pemenang telah diadakan di Galaxy Banquet Hall, Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.



Kedua-dua wanita itu berjaya merebut gelaran juara bagi kategori masing-masing, sekali gus bakal berentap pada Miss Plus World 2024 di Amerika Syarikat nanti.

Bagi Yvonne Chong, 45, selepas dinobatkan sebagai juara, dia begitu teruja dan berjanji akan terus aktif dalam dunia kecantikan di dalam serta luar negara.

“Saya berharap kemenangan ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita di luar sana untuk terus kekal yakin walaupun berbadan besar.

“Selepas ini, saya akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dan terus aktif melibatkan diri dalam dunia kecantikan,” katanya ketika dihubungi Aura.



Bagi Zainoriah pula, dia langsung tidak menyangka menjadi juara kerana pertama kali menyertai pertandingan berskala besar seperti itu.

“Pada usia 55 tahun, saya tidak pernah menyangka terpilih sebagai juara Ms. Plus Intercontinental Malaysia 2024.

“Ini merupakan pengalaman paling berharga dan manis dalam hidup saya,” katanya.

Pertandingan Miss Plus World Malaysia berlangsung dengan jayanya baru-baru ini.
Sementara itu, wakil penganjur, Junn Chow menyifatkan pertandingan tersebut sebagai satu platform terbaik yang menawarkan peluang keemasan kepada wanita bersaiz besar untuk mempamerkan kecantikan dalaman dan luaran mereka.

“Acara ratu cantik ini bertujuan memilih wanita yang berkualiti bukan sahaja dari aspek kecantikan, malah kebijaksanaan, keyakinan diri dan kemampuan untuk berkhidmat sebagai duta.



“Malah, acara ini akan menjadi saluran untuk menyampaikan mesej positif dan kisah-kisah misi kemanusiaan, kesihatan, pendidikan, keamanan serta penghormatan terhadap kepelbagaian kelompok masyarakat,” katanya.

Terdahulu, MPWM menjadi antara pertandingan ratu cantik yang memartabatkan kejelitaan wanita merangkumi kebijaksanaan, keyakinan dan bersifat Malaysia.

Acara tersebut dianjurkan oleh Monkii Global Holdings dengan kerjasama I-Creative Event Sdn. Bhd..

Gelaran ratu cantik MPWM pernah dimenangi oleh Lam Man Tang dan Sherlyn Chan (2022-23), Elena Tong dan Anna Liza Del Castillo (2021-22), dan Melissa Mohan Tyndall serta Shakti Chhabra (2020-21).



-Kosmo Online-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button