Penularan Ebola di Uganda semakin buruk, 29 maut
GENEVA, Switzerland – Sebanyak 63 kes disahkan dan kes disyaki demam berdarah Ebola telah dilaporkan di Uganda setakat ini termasuk 29 kematian, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) kelmarin.
Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus bimbang berikutan wabak Ebola yang diisytiharkan di Uganda dua minggu lalu itu mengorbankan lebih ramai pekerja kesihatan dan juga pesakit.
Terdapat enam spesies dalam genus virus Ebola, manakala virus yang merebak di Uganda adalah daripada varian Ebola Sudan. Tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan virus tersebut buat masa ini.
“Sebanyak 63 kes disahkan dan kes disyaki demam berdarah Ebola telah dilaporkan termasuk 29 kematian.
“Seramai 10 pekerja kesihatan turut dijangkiti dan empat orang meninggal dunia. Empat orang lagi sembuh dan menerima penjagaan kesihatan susulan,” kata Tedros pada satu sidang akhbar di Geneva.
Menteri Kesihatan Uganda, Jane Ruth Aceng Ocero berkata, seorang pakar bius berumur 58 tahun meninggal dunia awal kelmarin selepas kematian doktor warga Tanzania, seorang pembantu kesihatan dan seorang bidan.
Menurut Tedros, vaksin yang digunakan untuk membantu mengekang wabak Ebola spesies Zaire di negara jiran Uganda, Republik Demokratik Congo (DRC) baru-baru ini, tidak dapat memberikan perlindungan terhadap virus Ebola spesies Sudan.
Ebola merupakan demam berdarah yang kerap kali berakhir dengan kematian. Ia dinamakan sempena Sungai Ebola di DRC di mana virus tersebut ditemui pada tahun 1976.
Jangkitan sesama manusia berlaku melalui cecair badan dengan simptom utama adalah demam, muntah, pendarahan dan cirit-birit. Wabak Ebola juga sukar dibendung terutamanya di persekitaran bandar.
Mereka yang dijangkiti tidak dapat menjangkiti orang lain sehingga simptom muncul selepas tempoh inkubasi antara dua hingga 21 hari.