Sekuel Avatar dibuat untuk ditonton di layar besar untuk pengalaman unik

BUSAN, Korea Selatan – Pengarah filem yang memenangi anugerah Oscar, James Cameron berkata pada Khamis sekuel filem pecah panggung sci-fi 2009 yang ditunggu-tunggu Avatar dibuat untuk ditonton di skrin besar bagi mencipta pengalaman mengasyikkan.

Menjelang tayangan rasminya pada 16 Disember, rakaman 18 minit Avatar: The Way of Water ditayangkan kepada media di sebuah teater 3D di Busan, lokasi Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) berlangsung sejak Rabu, menurut agensi berita Yonhap.

Avatar disebut-sebut sebagai satu kejayaan dari segi teknologi pembikinan filemnya dan masih kekal sebagai filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di seluruh dunia.



Dibuat untuk ditonton dengan cermin mata 3D, klip video pendek itu merupakan pesta visual adegan penerokaan bawah air yang menarik dan jelas yang dirakam dengan kamera khusus pada kadar bingkai tinggi.

Cameron berkata teknologi canggih diperlukan untuk menjadikan pemandangan air lebih nyata dan jelas yang boleh divisualisasikan dengan baik apabila ditayangkan di pawagam digital seperti IMAX 3D, 4D dan Dolby.

“Pada asasnya ia suatu pengalaman yang berbeza. Ia mewujudkan sejenis realisme hiper dalam adegan yang biasa, normal, dan ada masanya kita perlukan pengalaman sinematik itu,” lapor Yonhap memetik Cameron yang menyertai sidang akhbar itu secara maya selepas tayangan tersebut.

Pengarah kelahiran Kanada itu berkata beliau memilih air sebagai latar cerita Avatar kedua walaupun menghadapi cabaran teknologi kerana cintanya terhadap lautan dan makhluknya.



“Itu sebenarnya hanya tentang cinta dan kegembiraan saya sendiri di lautan sebagai penyelam skuba, sebagai penjelajah dan sebagainya,” katanya.

Jon Landau, penerbit bersama, berkata filem akan datang itu adalah yang pertama daripada empat filem Avatar yang dirancang dengan cita-cita “untuk melakukannya secara betul” dalam mereka bentuk projek besar itu yang sekuelnya mengambil masa untuk diperkenal.

Landau berkata pasukannya memutuskan untuk menayangkan rakaman filem berkenaan di BIFF bagi menarik perhatian penonton filem Korea Selatan yang celik teknologi di festival filem terbesar Asia itu.

“Kami melihat festival filem Busan sebagai peluang yang baik untuk memperkenal dunia Pandora kepada pasaran Asia secara keseluruhan,” menurut Landau semasa sidang media.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button