DUN Melaka tidak dibubarkan, pentadbiran berjalan seperti biasa
MELAKA – Pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tanpa sebarang perubahan, susulan pembubaran Parlimen Ke-14 semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari berkata, hal ini kerana pembubaran itu hanya melibatkan pengundian bagi enam kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Jelasnya, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak terkesan kerana sudah melalui pilihan raya negeri (PRN) pada 20 November 2021.
“Daripada sudut pentadbiran negeri, tiada apa-apa perubahan sebab kita sudah selesai adakan PRN, jadi, hanya enam kerusi Parlimen di Melaka sahaja yang terlibat dengan PRU15.
“Ketua Menteri pun tetap akan jalankan tugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Beliau mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum (PRU) peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.
Dalam pada itu, Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum mengesahkan, pembubaran DUN tidak akan dilakukan oleh negeri ini memandangkan usianya belum pun cukup setahun dari tarikh PRN pada November lalu.
“DUN Melaka tidak bubar, belum sampai. Kain pun belum kering, kenapa harus bubar?,” katanya.
© Utusan Online