King Kazu kekal rekod pemain profesional tertua dunia
Tokyo: Kazuyoshi Miura melebarkan rekodnya sebagai pemain bola sepak profesional tertua yang beraksi pada usia 55 tahun dan 225 hari.
Bekas pemain antarabangsa Jepun itu masuk dari bangku simpanan untuk membuat penampilan penting bagi pasukan divisyen keempat, Suzuka Point Getters.
Legenda yang mendapat gelaran ‘King Kazu’ itu akan menyambut hari lahirnya yang ke-56 pada Februari depan.
Di Stadium Nasional yang dibina semula, Suzuka meraih kemenangan 1-0 ke atas Criacao Shinjuku.
Ia adalah detik penuh emosi di stadium itu di mana Miura menjaringkan banyak gol untuk kelab dan skuad kebangsaan sepanjang kariernya yang panjang.
Miura dimasukkan pada minit ke-76 di hadapan penonton yang mencatat rekod Liga Bola Sepak Jepun sebanyak 16,218 orang.
Pemain bola sepak profesional tertua di dunia itu yang mahu terus beraksi sehingga usia 60 tahun, ternyata amat terharu dengan pencapaiannya itu.
“Saya bersyukur kerana dapat beraksi dalam prestasi yang terbaik dan berasa bangga. Saya mahu perlawanan ini menjadi sebahagian daripada perjalanan sejarah yang saya lakar.
“Saya akan kekal bersikap merendah diri dan terus beraksi dengan keinginan tinggi,” katanya.
METRO