Malaysia langkah bergaya layak ke Piasa Asia Bawah 17

Skuad Bawah 16 tahun negara (B-16) mara ke pentas Piala Asia B-17 2023 secara merit setelah membenam cabaran Indonesia, 5-1 malam tadi.

Kemenangan pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium PakanSari Bogor, menyaksikan anak didik Osmera Omaro menamatkan kejohanan selaku juara kumpulan untuk menafikan impian Indonesia.

Turun dengan semangat membara susulan kemenangan 3-2 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE), Malaysia berada di depan seawal minit ke-17 hasil jaringan Zainurhakimi Zain.



Selang tiga minit kemudian, skuad B-16 tahun menggandakan kelebihan hasil ledakan sempurna dari Arami Wafiy untuk kedudukan 2-0 mengatasi Indonesia.

Bagaikan dirasuk semangat, Malaysia terus memperolehi ketiga menerusi Anjasmirza pada minit ke-23 sebelum Afiq Danish turut mencetak nama selaku penjaring gol keempat buat pasukan.

Arami Wafiy yang menjaringkan gol kedua terus menjadi duri dalam daging buat Indonesia apabila menjaringkan gol kelima pasukan menerusi sepakan penalti sebelum kedua pasukan beredar ke bilik persalinan untuk 45 minit babak pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia yang mendahului Indonesia dengan lima gol seolah-olah masih belum puas apabila tetap mempamerkan aksi serangan untuk terus memberikan tekanan kepada lawan.



Beberapa peluang dimiliki Malaysia gagal diterjemahkan untuk menambah gol dengan Indonesia dilihat mula menguasai perlawanan ketika perlawanan berbaki 15 minit terakhir separuh masa kedua.

Usaha berterusan Indonesia memburu gol akhirnya terhasil menerusi Arkhan Kaka Putra pada minit ke-93 namun ia tidak cukup untuk menghalang kemenangan bergaya Malaysia.

Kemenangan 5-1 ini memastikan Malaysia unggul selaku juara Kumpulan B dengan mengutip 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri untuk ke Piala Asia B-17 2023 secara merit.

© Utusan Online 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button