Paras air Sungai Chao Praya melimpah

BANGKOK – Limpahan air dari Utara menuju wilayah tengah Thailand dijangka akan mendatangkan malapetaka kepada masyarakat yang tinggal di sepanjang Sungai Chao Phraya termasuk di ibu negara Bangkok.

Menurut data Agensi Pembangunan Geomaklumat dan Teknologi Angkasa (GISTDA), ia sekali gus akan memburukkan lagi keadaan banjir di 26 wilayah khususnya di timur laut dan bahagian tengah Thailand dan lebih 154,000 keluarga di 4,354 perkampungan.

Empangan Chao Phraya di Chai Nat, meningkatkan pelepasan airnya kepada 3,113 meter padu sesaat pada Ahad, iaitu paras tertinggi yang direkodkan setakat tahun ini.



Kadar pelepasan baharu ini secara langsung memberi kesan kepada wilayah hiliran kerana ia meningkatkan paras banjir di wilayah yang sudah dilanda musibah itu.

Kebimbangan semakin meningkat dengan situasi banjir di Thailand, dari Chai Nat menuju ke Ayutthaya dan ke Bangkok, dijangka akan berdepan situasi lebih buruk.

Di Ayutthaya, satu bahagian jalan di antara bandar Ayutthaya dan daerah Sena ditenggelami air semalam selepas Empangan Chao Phraya meningkatkan kadar pelepasannya.

Kelmarin, paras air di Sungai Chao Phraya dan Noy meningkat di wilayah hilir dan limpahan air merebak ke kawasan penempatan di tepi sungai dan jalan raya, lapor agensi berita Bangkok Post.



Runtuhan benteng banjir turut dilaporkan di Wat Ban Daeng, kawasan perbandaran Nam Tao dan di Bang Ban yang menyebabkan limpahan air ke jalan Ayutthaya-Sena.

Sebahagian jalan di Jambatan Si Kuk ke Sungai Noi berada di 15-30 sentimeter turut ditenggelami air yang mengakibatkan kesesakkan lalu lintas.

Data daripada Pusat Operasi Air Pintar (SWOC) melaporkan Empangan Pasak Jolasid di Lop Buri mencapai kapasiti penuh.

SWOC mencadangkan supaya air disalirkan ke Empangan Phra Ram VI pada 901 meter padu sesaat bagi mengurangkan tekanan di empangan.



Pusat Pemerintahan Air Kebangsaan (NWCC) Thailand turut mengeluarkan amaran mengenai paras air di banyak pusat takungan yang meningkat.

Untuk rekod, hujan lebat dan limpahan air sungai mencetuskan kejadian banjir di 26 wilayah khususnya di timur laut dan bahagian tengah Thailand.

Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) lebih 154,000 keluarga di 4,354 perkampungan dilaporkan terjejas setakat semalam, susulan ribut tropika Noru dan monsun barat daya melanda Laut Andaman dan Teluk Thailand.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button