Barat bimbang keupayaan China manipulasi teknologi

LONDON – Keupayaan China menggunakan kekuatan kewangan dan sains untuk memanipulasi teknologi akan memberi ancaman besar kepada keselamatan global, kata perisik siber utama Britain.

Pengarah Agensi Perisikan GCHQ, Jeremy Fleming, dalam teks ucapannya pada syarahan keselamatan tahunan di badan pemikir Institut Perkhidmatan Diraja berkata, kepemimpinan China sedang berusaha menggunakan teknologi seperti mata wang digital dan rangkaian navigasi satelit Beidou untuk memperketat kawalan terhadap rakyatnya di dalam dan luar negara.

“Mereka berusaha mendapatkan kelebihan melalui skala dan kawalan. Ini bermakna, mereka melihat peluang untuk mengawal rakyatnya berbanding mencari jalan untuk menyokong dan memberi kebebasan (berdasarkan) potensi warga negaranya.



“Mereka melihat negara lain sama ada sebagai musuh atau negara yang berpotensi untuk diancam, disogok, atau dipaksa,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Kenyataan itu adalah amaran awam terkini Fleming mengenai tingkah laku dan aspirasi Beijing.

Tahun lalu, beliau berkata, Barat bergelut untuk memastikan China tidak mendominasi teknologi penting baharu seperti kecerdasan buatan, biologi sintetik dan genetik.

Fleming juga dalam ucapan sama berkata, kepemimpinan China didorong ketakutan terhadap rakyat mereka sendiri, kebebasan bersuara, perdagangan bebas, piawaian teknologi terbuka dan sekutu ‘keseluruhan perintah demokrasi yang terbuka dan sistem berasaskan peraturan antarabangsa’.



Beliau berkata, kebimbangan berkenaan yang digabungkan dengan kekuatan China mendorong ‘ke arah tindakan yang menyebabkan ancaman besar kepada kita semua’.

China sebelum ini menyifatkan tuduhan sedemikian daripada kerajaan Barat sebagai fitnah tidak berasas dan bermotifkan politik.

Fleming turut menjelaskan mengenai kerja keras China berusaha mendapatkan pengaruh seperti pembangunan mata wang digital berpusat untuk membolehkan negara itu memantau transaksi pengguna selain mungkin mengelak jenis sekatan yang dihadapi Russia sejak pencerobohan ke atas Ukraine.

Beliau juga akan merujuk kepada Beidou, jawapan China kepada sistem penentu kedudukan global (GPS) milik Amerika Syarikat (AS).



“Ramai yang percaya China sedang membina keupayaan anti-satelit yang kuat dengan doktrin menafikan negara lain akses ke angkasa lepas sekiranya berlaku konflik,” katanya.

“Terdapat kebimbangan teknologi itu boleh digunakan untuk menjejaki individu,” katanya.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading