Sri Lanka menurunkan status ekonomi kepada ‘negara berpendapatan rendah’

COLOMBO – Kabinet Sri Lanka meluluskan cadangan menurunkan status ekonomi negara kepulauan itu kepada ‘negara berpendapatan rendah’ bertujuan mendapatkan akses kepada pembiayaan konsesi daripada organisasi antarabangsa, kata jurucakap Kabinet.

Ekonomi Sri Lanka merosot teruk, merekodkan kadar penyusutan tahunan sebanyak 8.4 peratus pada suku Jun, iaitu salah satu penurunan suku tahunan paling teruk pernah dicatatkan.

Menurut Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita ialah AS$3,815 (RM17,823) pada tahun lalu yang meletakkannya dalam kategori ekonomi pertengahan rendah.



Kabinet juga memutuskan untuk menurunkan taraf negara itu kepada ‘negara berpendapatan rendah’ dalam senarai Bank Dunia, kata jurucakap Kabinet, Bandula Gunawardane.

“Memandangkan krisis kewangan yang serius dihadapi Sri Lanka, wakil organisasi antarabangsa sudah memaklumkan kepada kita bahawa jika Sri Lanka dikategorikan sebagai negara berpendapatan rendah, akses kepada pembiayaan akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Negara pulau di Asia Selatan dengan 22 juta penduduk itu sedang menghadapi krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan pada 1948.

Ia disebabkan oleh penularan COVID-19 memandangkan ekonominya bergantung kepada pelancongan selain pengurangan kiriman wang daripada pekerja di luar negara, kenaikan harga minyak, pemotongan cukai populis dan pengharaman import baja kimia selama tujuh bulan pada tahun lalu yang memusnahkan aktiviti pertanian.



Krisis itu membawa kepada kekurangan dolar yang teruk untuk membayar import makanan, bahan api dan ubat-ubatan, kejatuhan dalam rupee dan inflasi yang berterusan.

Bank Pusat Sri Lanka yang mengekalkan kadar dasar stabil minggu lalu meramalkan penguncupan KDNK sebanyak 8.7 peratus untuk 2022.

Setakat ini, Bank Dunia masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung perkara itu.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button