Dua lagi anak penyu berkepala dua ditemui tetapi sudah mati
DUNGUN – Dua lagi anak penyu agar berkepala dua ditemukan di pusat penetasan penyu di Tanjung Jara Resort di sini pada September lalu.
Pengurus Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch, Abidah Zaaba berkata, bagaimanapun kedua-kedua ekor anak penyu istimewa itu ditemukan mati dalam telur oleh sukarelawan di pusat tersebut.
“Ketika sukarelawan membuat pemeriksaan sarang, mereka menemui dua lagi anak penyu yang berkepala dua, namun malangnya, anak penyu itu tidak berjaya menetas dan ditemukan dalam telur di sarang berasing bulan lalu.
“Kedua-kedua anak penyu yang ditemukan itu telah kita jadikan sebagai spesimen untuk tujuan pameran dan pembelajaran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Abidah berkata, sejak Jun tahun lalu, sebanyak empat ekor anak penyu berkepala dua ditemukan di pusat tersebut.
Bagaimanapun, hanya seekor anak penyu agar berkepala dua berjaya hidup iaitu anak penyu yang ditemui pada 30 Ogos lalu.
“Kita tidak menolak kemungkinan keempat-empat anak penyu agar berkepala dua ini datangnya daripada baka yang sama,” ujarnya.
Anak penyu yang diberi nama, ‘hope’ dan ‘faith’ itu kini ditempatkan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Rantau Abang di sini.
Kejadian yang dipanggil sebagai ‘dicephalism’ itu merupakan situasi jarang berlaku kepada penyu dan faktor genetik mungkin memainkan peranan penting dalam pembentukan penyu berkepala dua ini.
© Utusan Online